ALOR SETAR – Kerajaan Kedah akan memberikan bantuan bersesuaian kepada mangsa yang cedera dalam kejadian letupan mercun di Kuil Sri Subramaniya Swami di Sungai Petani, malam tadi, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Beliau berkata pihaknya sedang menunggu laporan lengkap berhubung kejadian itu untuk tindakan susulan termasuk bantuan kepada mangsa yang terlibat.
“Biasanya dalam apa juga insiden yang berlaku kerajaan akan beri bantuan (kepada mangsa),” katanya kepada pemberita pada program “Jualan Runtuh” Parlimen Alor Setar di Dataran Taman Wira, di sini, hari ini.
Ahmad Bashah berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terperinci terhadap kejadian itu yang menyebabkan ramai yang cedera.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam tadi, lebih 25 pengunjung Kuil Sri Subramaniya Swami cedera selepas terkena letupan mercun ketika sedang menyaksikan perarakan kereta berhala yang diarak keluar dari kuil.
Kejadian itu turut menyebabkan beberapa orang kanak-kanak dan seorang anggota polis cedera.
Berhubung program jualan murah tersebut, Ahmad Bashah berkata program itu akan diperluaskan di semua kawasan Parlimen di negeri ini sebagai usaha membantu rakyat untuk mendapatkan barangan dapur 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran.
Pada program hari ini, ikan kembong dijual pada harga RM9 sekilogram berbanding RM15 sekilogram pada harga pasaran dan beras pada harga RM11 berbanding RM13 bagi lima kilogram di samping pelbagai makanan sejuk beku serta ayam, daging, bawang, minyak masak dan susu tin.
Sementara itu, Ayob Isa, 56, berkata, beliau datang seawal 8 pagi untuk membeli ayam dan daging kerana dijual pada harga lebih murah dan perpatutan.
“Ini peluang terbaik untuk saya beli barangan dapur di sini kerana boleh jimat antara RM10 hingga RM20 berbanding jika beli di luar dan pasaraya… saya harap program ini diadakan selalu dan melibatkan lebih banyak barang ditawarkan,” katanya. – BERNAMA