GUA MUSANG – Seorang wanita Orang Asli yang sedang sarat mengandung bersalin di atas pengusung sejurus sebelum dibawa naik ke helikopter untuk diterbangkan ke Hospital Gua Musang (HGM) petang semalam.
Arnie Bah Leman, 30, tinggal di Kampung Pahong, Pos Bihai melahirkan anak lelaki jam 4.30 petang disambut bidan kampung dan ditemani suaminya, Iman Along, 35.
Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Pangkalan Subang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Farhan Marzuki, berkata sebelum itu pihaknya menerima maklumat daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak, kira-kira 1 tengah hari, memohon penerbangan ihsan untuk membawa seorang wanita Orang Asli yang sedang sakit hendak bersalin.
Katanya, pihaknya terus berlepas dari Pangkalan Udara Subang kira-kira 3.15 petang dengan helikopter Agusta A109E yang dikemudi Penguasa Kanan Bomba 1, Roslan Bin Aziz dan Timbalan Penguasa Bomba, Mohd Faizal Abd Latif.
“Penerbangan mengambil masa sejam sebelum tiba di kampung itu untuk mengambil pesakit terbabit yang sudah bersedia di rumahnya untuk dikejarkan ke HGM.
“Sebaik wanita itu diusung untuk menaiki helikopter, dia terus bersalin atas pengusung dan penduduk terpaksa memanggil bidan kampung bagi urusan menyambut bayi,” katanya.
Menurutnya, pihaknya menunggu satu jam setengah untuk memastikan urusan melahirkan anak itu berjalan lancar.
“Selepas memastikan keadaan wanita dan bayi itu berada dalam keadaan baik dan sihat, kami berlepas balik ke Pangkalan Udara, Subang 6 petang,” katanya. – BH ONLINE