BERTUAH sungguh!… Para pekerja di sebuah kilang pembuatan besi di China baru-baru ini menerima bonus sebanyak 32,000 yuan atau RM19,840 setiap orang.
Majikan yang mungkin dikatakan paling pemurah di dunia itu memperuntukkan sebanyak 160 juta yuan atau RM99.19 juta untuk kesemua 5,000 pekerjanya dan ia diberikan secara tunai.
Media tempatan melaporkan, syarikat Fangda Special Steel Technology yang berpangkalan di Nanchang, timur China menyerahkan bonus itu kepada pekerjanya pada Khamis lalu.
Difahamkan, firma pembuatan besi itu bukan pertama kali membuat kejutan dengan memberikan bonus tinggi kepada pekerjanya.
Sebelum ini, sebuah lagi anak syarikat itu turut menjadi tular menerusi Internet selepas memberi bonus kepada pekerjanya secara tunai.
Bagaimanapun, pekerja di bahagian pengurusan dikecualikan daripada menerima bonus itu.
Bonus itu diberikan selepas pengeluaran dan keuntungan syarikat itu mencecah tahap tertinggi pada tahun lalu.
Setakat ini, syarikat itu telah memberikan bonus kepada pekerjanya berjumlah 600 juta yuan (RM372 juta) sejak 2011.
Firma itu turut memberikan wang tunai berjumlah 3,000 yuan (RM1,859) kepada pekerja yang bersara dan berusia lebih 60 tahun.
Harga besi melambung tinggi pada tahun lalu menyebabkan syarikat besi mengaut keuntungan berlipat kali ganda.
Inilah orang kata kalau sudah rezeki tidak akan ke mana, kalaulah ada majikan seperti ini di Malaysia, alangkah syahdunya. – MYNEWSHUB.CC