VANDALISME biasanya dikaitkan dengan aktiviti merosakkan harta awam, namun lain pula kisahnya dengan seorang guru di Johor yang menerima pujian ‘melambung’ daripada warganet kerana menconteng dinding sekolahnya.
Doodle lukisan Sarah Muhammad Fauzi, yang dilukis menggunakan pen papan putih pada dinding SK Sri Pulai Perdana, Johor Baru, bukanlah contengan pertamanya, namun dia masih belum puas melakukan ‘vandalisme’ pada dinding salah sebuah bilik di sekolahnya.
Menurut guru Bahasa Inggeris itu, dia sengaja menyamakan lukisan dindingnya dengan vandalisme kerana mahu ‘bermain’ dengan maksud sebenar perkataan tersebut.
“Ianya bukan bertujuan untuk merosakkan harta awam, namun lebih kepada saluran untuk saya meluahkan perasaan. Inilah cara saya menenangkan diri,” katanya.
Cikgu Sarah, 30, telah diminta oleh salah seorang rakan setugasnya bernama Cikgu Kerol untuk ‘menconteng’ dinding bilik subjek Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dan wanita itu menyahut cabaran itu dengan penuh bersemangat.
Dia juga berazam untuk mahir melukis doodle dalam tempoh sebulan, namun oleh kerana kekangan masa mungkin tempohnya akan dipanjangkan sedikit.
Doodle sepanjang tiga meter itu pada mulanya hanya dilukis secara spontan tanpa sebarang tema, oleh kerana ianya dilakukan sekadar suka-suka.
Kata pendidik yang berasal dari Pulau Pinang itu lagi, dia sentiasa menggunakan pendekatan yang unik dalam teknik pengajarannya bagi menarik minat pelajarnya belajar subjek Bahasa Inggeris.
“Saya jenis yang mudah bosan, jadi saya mahu mencipta sesuatu yang baru untuk mereka. Saya tidak menganggap melukis doodle ini sebagai satu bakat, tetapi lebih kepada hobi,” kata Sarah.
Dia juga menambah dia tidak sama sekali menyangka entri yang dimuat naik olehnya pada petang Ahad, 18 Januari lalu di Facebook akan mencetuskan tular dan menerima 11,000 likes serta dikongsi sebanyak 2,013 kali.
Tahniah kepada Sarah kerana menjadi seorang pendidik yang lain daripada yang lain dan sanggup membuat effort lebih daripada apa yang diminta atas nama mendidik generasi baru! – MYNEWSHUB.CC