KUALA LUMPUR – Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) menawarkan diskaun tol 10 peratus bermula 6 pagi, Sabtu ini (10 Feb) hingga 6 pagi, Ahad (11 Feb) menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
Kadar tol selepas diskaun yang dikenakan kepada pengguna Lebuhraya SMART adalah RM2.70 berbanding kadar biasa RM3 untuk setiap hala masuk atau keluar di ibu negara.
“Diskaun tol yang diberikan tahun ini lebih istimewa kerana ia diberi lebih awal berbanding tahun sebelumnya sebagai tanda keprihatinan kami kepada pengguna Lebuhraya SMART,” kata Ketua Pegawai Operasi Lebuhraya SMART Sharifah Alauyah Wan Othman dalam kenyataan hari ini.
Beliau berharap orang ramai mengambil kesempatan itu dengan menggunakan lebuh raya berkenaan untuk membeli-belah di pusat bandar sebagai persiapan menjelang perayaan berkenaan.
Dalam kenyataan berasingan, Maju Expressway Sdn Bhd berkata ia menawarkan diskaun tol 10 peratus kepada semua kelas pengguna Lebuhraya Maju (MEX) bermula 12 tengah malam sehingga 11.59 malam pada Tahun Baharu Cina.
“Dianggarkan lebih 96,000 kenderaan bakal menikmati diskaun ini,” kata syarikat itu. – BERNAMA