SEMUA parti komponen Barisan Nasiona (BN) digesa mengadaptasikan semangat permuafakatan dan penyatuan dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) demi kelansungan politik tanah air.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata bahawa dua elemen berkenaan adalah tonggak penting dalam memperkukuhkan persiapan semua jentera parti komponen dalam berhadapan Pilihan Raya Umum (PRU).
āPRU ke-14 dijangka menjadi pilihan raya paling mencabar dalam sejarah negara. Justeru, kita memerlukan persediaan secukupnya, terutama dengan berpaksikan semangat perpaduan dalam kalangan parti komponen.
āIni sudah lama wujud dalam PBB dan Kita boleh berkongsi sama pengalaman dengan PBB itu bagi mewujudkan suatu konsep kejituan dalam kalangan parti komponen lain,ā kata beliau yang juga Pengerusi BN.
Najib berkata demikian semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung PBB ke-14 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di Kuching, hari ini. Turut hadir ialah Presiden PBB,Ā Datuk Abang Johari Tun Openg.
Beliau turut bersikap optimis dan meluahkan keyakinan tinggi dengan keupayaan komponen BN Sarawak, terutama diterajui oleh PBB untuk mengekalkan keputusan terbaik āA+ā di negeri tersebut dalam PRU ke-14.
āKita akan pastikan BN Sarawak dan PBB bukan sahaja memperoleh majoriti lebih besar, bahkan mandat penuh rakyat bagi bentuk kerajaan yang kuat dan utuh dalam membawa negara ke era masa depan lebih cemerlang.
āSudah pasti PBB yang kini dipimpin kapten baharu, Datuk Abang Johari kekal menjadi benteng kekuatan BN secara keseluruhannya,ā kata beliau sebaai merujuk kepada ketua menteri Sarawak tersebut.
Sementara itu, Najib berkata bahawa Kerajaan Persekutuan bersedia untuk mengembalikan segala hak Sarawak yang memang termaktub ketika dipersetujui di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Berikutan itu, beliau berkata sebuah jawatankuasa peringkat tinggi bakal ditubuhkan untuk duduk semeja dengan jawatankuasa peringkat tinggi yang ditubuhkan oleh pihak kerajaan Sarawak.
āRunding dengan baik-baik, cari penyelesaian, semua pihak boleh bincang. Dalam Kabinet Persekutuan pun ada ramai menteri yang datangnya dari Sarawak,ā jelas Najib.
Tambah Najib, kerajaan hari ini lebih ikhlas berhubung banyak isu, berbeza dengan keadaan suatu ketika dahulu apabila sesiapa sahaja yang menyentuh soal MA63 akan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Walaupun tidak menyebut nama pemimpin itu, kenyataan Najib dipercayai sebagai merujuk kepada tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pernah menjadi ketua negara selama 22 tahun. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA