“IBU Mithali ibu sejati, kasih sayangmu kasih yang suci, pengorbananmu disanjung tinggi, jasamu tetap di sanubari”, demikian sebahagian lirik lagu Ibu Mithali nyanyian Kumpulan Rabbani.
Ia amat menyentuh perasaan, setiap kali program Dakwah Live menutup tirai siarannya di minggu kedua ini.
Bertemakan Ibu, amat terasa suasana sendu dan hiba pada wajah-wajah penonton Dakwah Live di studio TV AlHijrah, sewaktu menadah tangan mengaminkan doa untuk ibu yang dibacakan hos.
Mata penonton berkaca dengan genangan air mata, setiap kali perkataan ibu disebut dalam doa yang amat menyentuh jiwa itu.
“Anak-anak di luar sana, Makcik nasihatkan janganlah melawan ibu bapa, tunjukkanlah kasih sayang semasa ibu bapa masih ada,” pesan Hatijah yang merasai suasana menonton Dakwah Live di studio pada 12 Februari yang lepas bersama kumpulannya dari Sungai Raya, Ipoh Perak.
Kasih ibu ke syurga menjadi topik perbincangan malam tersebut oleh dua orang hos yang tidak asing lagi iaitu, gandingan Dato’ Dr. Izhar Ariff dan Ustaz Syed Norhisyam bersama Ustaz Rozi Harun sebagai panel jemputan.
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, itulah gambaran kesungguhan dan kesabaran Hj Tukimat, 57, bersama-sama ahli rombongannya yang bertolak dari kampung mereka FELDA Layang-Layang, Simpang Renggam, Johor seawal jam 7 pagi untuk menonton siaran langsung Dakwah Live di studio TV AlHijrah, Kuala Lumpur pada malam kedua.
Perjalanan ke TV AlHijrah dari Simpang Renggam itu mengambil masa kira-kira 3 jam setengah. Rombongan ini mengambil peluang melawat ke Memorial Tun Razak dan Muzium Islam sebelum bergerak ke Kompleks Pusat Islam, lokasi TV AlHijrah.
Melangkah masuk ke lobi TV AlHijrah tatkala hari menjelang senja, Haji Tukimat yang ditemani isterinya, Hajah Haliza, 56, serta 41 orang ahli rombongan dari Selatan Semenanjung itu, memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana inilah pertama kali mereka menjejakkan kita di Tv Islam Terbaik Asia itu.
“Alhamdulillah kami bersyukur dan sangat teruja diundang ke TV AlHijrah,“ kata Haji Tukimat. “Dakwah Live memang menepati citarasa untuk yang umur-umur yang macam ni,” sampuk isterinya, Hajah Haliza pula.
Persatuan penduduk FELDA Layang-Layang ini merupakan kumpulan penonton Dakwah Live malam kedua, bersiaran pada 13 Februari lepas yang membicarakan topik ‘Syurga yang telah pergi’.
Topik yang meruntun hati rata-rata penonton di studio ini, dikupas oleh Datuk Dr. Izhar Ariff bersama Dr. Nik Salida serta Ustaz Syukri Ismail sebagai panel jemputan.
Manakala pada malam ketiga pula, studio TV AlHijrah diwarnai dengan warna merah Jubah dan baju batik Muslimin dan Muslimah dari Surau Riadul Jannah, Taman Pelangi, Segamat, Johor.
Menurut Pengerusinya, Haji Onn Aziz, 67, beliau berasa cukup seronok, terharu dan gembira dengan layanan yang cukup istimewa oleh pihak TV AlHijrah di samping dapat bergambar kenangan dengan Ustaz dan Ustazah yang dikagumi serta disegani.
Menurut Pengerusinya, Haji Onn Aziz, 67, beliau berasa cukup seronok, terharu dan gembira dengan layanan yang cukup istimewa oleh pihak TV AlHijrah di samping dapat bergambar kenangan dengan Ustaz dan Ustazah yang dikagumi serta disegani.
Zaleha Arifin, 61, yang pertama kali bertandang ke TV AlHijrah, turut sependapat. Malah, turut berbangga dengan usaha TV AlHijrah mengadakan program seperti Dakwah Live.
Program Dakwah Live ternyata menarik perhatian rata-rata penonton yang hadir di studio. “Buat masa sekarang ni belum ada program seperti Dakwah Live dengan ahli panel dan Ustaz-Ustazah yang bagus-bagus belaka,” akui Haji Johari, penonton dari Sungai Raya, Perak, ketika ditemui selepas selesai Dakwah Live ke udara.
Program Dakwah Live ternyata menarik perhatian rata-rata penonton yang hadir di studio.
“Buat masa sekarang ni belum ada program seperti Dakwah Live dengan ahli panel dan Ustaz-Ustazah yang bagus-bagus belaka,” akui Hj Johari salah seorang penonton dari Sungai Raya, Perak, ketika ditemui selepas selesai Dakwah Live ke udara. – MYNEWSHUB.CC