TIDAK tahan dengan cemuhan serta kecaman netizen, penyanyi wanita kacukan Perancis-Syria, Mennel Ibtissem nekad menarik diri daripada program nyanyian realiti antarabangsa, The Voice France.
Mennel, yang menyertai rancangan realiti tersebut tahun ini, telah mendapat kecaman hebat di media sosial selepas status Twitter yang ditulisnya dua tahun lalu dikatakan seolah-olah menyokong keganasan.
Dia yang merupakan peserta berhijab pertama itu mengumumkan penarikan dirinya menerusi satu perkongsian video di laman sosial Facebook.
“Saya ada mesej penting untuk kalian semua. Sebagai seorang penyanyi, tujuan saya menyertai rancangan realiti The Voice bagi menyatukan orang ramai, bukan memecah belahkan, juga membuka minda, bukan menjadikan mereka jumud.
“Saya percaya dengan nilai kemanusian dan kebaikan manusia. Saya percaya juga masa depan kita harus dibina dengan cinta, keamanan dan toleransi. Malah, saya percaya dengan rakyat di negara ini.
“Semenjak beberapa hari lalu, saya terpaksa mengharungi saat getir apabila saya menerima terlalu banyak tumpuan dan cemuhan orang ramai.
“Saya tidak pernah ada niat untuk menyakiti sesiapa malah tujuan dan mesej saya telah disalah anggap sehingga menyakitkan diri saya dengan begitu dahsyat.
“Oleh yang demikian, hari ini saya memutuskan untuk tarik penyertaan saya dari rancangan itu (The Voice),” luah Mennel.
Walaubagaimanapun, jelas Mennel, penarikan diri ini tidak akan menghalangnya untuk meneruskan karier dalam bidang nyanyian dan akan menjadikan ia sebagai satu batu loncatan bagi permulaan kariernya.
Mennel juga menyifatkan bahawa dia akan memanfaatkan peluang yang ada untuk menyebarkan mesej positif serta tidak akan membiarkan ketakutan menguasai dirinya.
“Saya akan teguh berdiri dengan senyuman dan saya tidak akan biarkan ketakutan menguasai diri saya,” ujar Mennel dalam video tersebut.
Penyanyi tersebut mula menjadi perhatian orang ramai setelah persembahannya menyanyikan sebuah lagu dipopularkan Leonard Cohen berjudul Hallelujah memukau para juri serta penonton.
Video persembahannya itu tular dan menyaksikan orang ramai meramalkan Mennel untuk menjuarai pertandingan tersebut.
Namun, itu semua tidak menjadi kenyataan selepas status tulisannya di Twitter berkaitan serangan keganasan di Nice, Perancis dua tahun lalu digali semula dan dijadikan modal oleh netizen untuk menjatuhkan bakat yang semakin meningkat naik itu.
Berikut merupakan persembahan memukau Mennel ketika menyertai pertandingan tersebut. -MYNEWSHUB.CC/EZ