PATAH tumbuh hilang berganti…. Selepas percintaan dengan aktor Kamal Adli terputus tahun lalu, pelakon popular Emma Maembong dikatakan semakin rapat dengan pelakon berbangsa Cina, Alvin Chong.
Mula rapat sejak bergandingan dalam drama Awak Suka Saya Tak tahun lalu, keakraban mereka sudah lama diketahui oleh para peminat kedua-duanya kerana sering memuat naik gambar bersama di laman sosial.
Oleh itu, sempena hari lahir Alvin pada 23 Januari lalu, Emma telah mengirimkan sebuah ucapan yang manis sekali.
Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 26, berkata biarpun masing-masing sibuk dengan kerja dan tidak dapat berhubung namun apabila bertemu mereka gunakan waktu itu dengan baik.
“Anda tahu seseorang itu istimewa apabila walaupun tidak sempat bertanya khabar untuk beberapa lama kerana sibuk dengan urusan masing-masing, namun hubungan kalian masih utuh seperti selalu.
“Kalian berbual seperti tiada jurang yang memisahkan antara kamu berdua dan ketawa sehingga sakit perut.
“Ia merupakan satu hubungan yang istimewa dan secara peribadi saya rasa ianya seperti magik.
“Jika anda bertemu dengan seseorang yang sebegitu di dalam hidup anda, jangan lepaskan dia. Semoga persahabatan kita kenal selamanya, @alvinchong123.
“Sementara tu, terima kasih ‘baby pus’. Hari lahir awak tapi I pulak yang dapat hadiah.”
Wah wah, sudah ada nama timangan nampak?
Apa-apa pun, nampaknya posting Emma itu menerima respon yang positif daripada peminatnya.
Ada yang mengatakan mereka ‘merestui’ jika Emma dan Alvin benar-benar bercinta di luar set penggambaran dan tak kurang juga yang gembira Emma bertemu pengganti yang juga rakan baiknya.
Selepas hubungan cintanya selama 4 tahun bersama Kamal putus pada 23 Oktober tahun lalu, mungkin sudah tiba masanya Emma mencari bakal peneman hidup baru pula bagi mengisi kekosongan hatinya, kan? – MYNEWSHUB.CC