KUALA LUMPUR – Pertandingan bola sepak wanita bagi merebut Piala Tun Sharifah Rodziah kini dikenali sebagai Liga Tun Sharifah Rodziah 2018.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan berkata, berbanding Piala Tun Sharifah Rodziah yang diadakan secara karnival sebelum ini, Liga Tun Sharifah Rodziah 2018 akan berlangsung secara liga sepusingan.
“Sebanyak 16 pasukan dibahagi kepada dua kumpulan yang menyaksikan setiap pasukan akan beraksi tujuh perlawanan sepanjang Ogos hingga September depan di beberapa venue yang akan ditetapkan.
“Seterusnya empat pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke peringkat kalah mati yang akan berlangsung pada Oktober depan dengan saingan suku akhir dijadual berlangsung di satu venue yang akan ditetapkan manakala perlawanan separuh akhir dan final dijadual berlangsung di Johor,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut FAM, Mesyuarat Jawatankuasa Induk bagi Liga Tun Sharifah Rodziah 2018 telah berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor petang ini.
Kata FAM, mesyuarat itu dipengerusikan oleh Exco FAM, Datuk Suraya Yaacob selaku Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM dan turut dihadiri Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.
Piala Tun Sharifah Rodziah adalah kejohanan bola sepak wanita di Malaysia.
Ia ditubuhkan pada tahun 1976 sebagai pertandingan bola sepak wanita yang bertanding oleh pasukan-pasukan di sekeliling Malaysia.
Pertandingan ini diuruskan oleh FAM dan tahun lalu ia dimenangi oleh Sarawak. – BERNAMA