ADAT berumahtangga, pasti ada pasang surutnya. Bertikam lidah dan berselisihan faham itu perkara biasa, namun apa yang paling penting adalah cara suami isteri itu menghadapinya.
Justeru, apabila pasangan pelakon Datuk Farid Kamil dan Datin Diana Danielle melalui fasa sukar dalam perkahwinan mereka ekoran kontroversi yang melanda Farid baru-baru ini, kedua-duanya kelihatan begitu komited untuk memulihkan situasi.
Menyatakan rasa kasih dan sayangnya kepada isteri tercinta melalui platform media sosial, Farid telah memuat naik sekeping gambar bertiga bersama-sama Diana dan anak lelaki mereka iaitu Muhammad.
Menerusi kapsyennya, aktor berusia 37 tahun itu menggunakan pepatah Melayu yang berbunyi ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’ berserta tanda pagar ‘#kamixramai tapi kami ada #X’ yang mungkin boleh ditafsirkan sebagai keutuhan hubungannya dengan Diana.
Sebelum ini, Farid pernah mengakui hubungan mereka suami isteri tidak mempunyai sebarang masalah, malah dia bersyukur mempunyai isteri dan anak-anak, Muhammad, 5 dan Nur Aurora, 3, di sampingnya.
Dalam pada itu, Diana turut menzahirkan kasih sayangnya terhadap Farid menerusi satu postingan di InstaStory yang disertakan dengan kapsyen: “I miss you @faridkamilz (saya rindukan awak @faridkamilz)”.
Entri tersebut bagaimanapun telah dipadamkan.
Sementara itu, followers Farid di Instagram turut mendoakan kebahagian rumah tangga pasangan itu akan berkekalan dan sentiasa dalam lindungan Allah.
Ramai juga menasihatkan agar pasangan itu terus tabah menghadapi ujian kerana setiap apa yang berlaku pasti mempunyai hikmah disebaliknya. – MYNEWSHUB.CC