Wednesday, November 27, 2024

Creating liberating content

2,176 Kes Baharu Covid-19,...

KUALA LUMPUR - Penularan Covid-19 dalam negara mencatatkan penurunan hari ini dengan merekodkan...

Pencuri Duit Tabung Surau...

SUNGAI BULOH - Kegiatan seorang lelaki menggunakan mesin pencanai untuk memotong mangga tabung...

Inflasi Keseluruhan Dijangka Kekal...

KUALA LUMPUR - Inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal sederhana tahun ini,...

Siasatan Kes Kapal Selam...

GUA MUSANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan siasatan kes membabitkan pembelian kapal...

Fasiliti Pusat Pergigian Imperial Tak Tepati Piawaian

KUALA LUMPUR – Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa fasiliti di Pusat Pergigian Imperial yang didakwa berhubung kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi ketika menerima rawatan di premis itu pada 2016, tidak menepati piawaian mengikut Akta Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Pegawai Penyiasat daripada Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Putrajaya, Dr Siti Khadijah Hawari, 37, berkata walaupun mempunyai perakuan yang sah sebagai pusat jagaan ambulatori swasta di bawah akta itu, tetapi fasiliti di pusat pergigian itu tidak mematuhi peraturan mengikut akta itu dan perlu dibuat penambahbaikan.

Dr Siti Khadijah berkata pusat pergigian itu ada mengemukakan permohonan untuk menaik taraf klinik kepada pusat jagaan ambulatori swasta pada Disember 2011 dan telah diluluskan pada Mei 2012, tetapi ia perlu melakukan beberapa penambahbaikan termasuk lif, keluasan koridor dan peralatan kecemasan.

“Keadaan lif di premis berkenaan tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dari segi saiz dan kapasiti, koridor juga lebih kecil dan ada beberapa peralatan yang tidak disediakan seperti bekalan gas oksigen kecemasan.

“Bagaimanapun premis berkenaan telah memohon pengecualian terhadap lif dan koridor serta memberi justifikasi untuk pengecualian itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Jaizah Jaafar Sidek pada perbicaraan kes Pusat Pergigian Imperial yang didakwa berhubung kematian Syed Alman Zain, menantu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika menerima rawatan pergigian di premis berkenaan pada 1 Jun 2016.

Dr Siti Khadijah berkata, selain mendapatkan maklumat berkenaan pusat rawatan pergigian berkenaan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihaknya juga telah mengeluarkan surat untuk pengesahan status pendaftaran Dr Ting Teck Chin daripada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan pengesahan status pendaftaran pemilik premis itu Dr How Kim Chuan, pengarah syarikatnya Dr Wong Yen Ling dan Dr Arlena Philip Lee daripada Majlis Pergigian Malaysia (MDC).

“Tujuan siasatan itu untuk pastikan pengamal-pengamal tersebut adalah pengamal perubatan dan pergigian berdaftar dan mempunyai perakuan amalan semasa, hasil siasatan mendapati kesemua pengamal perubatan dan pergigian itu berdaftar dan mempunyai perakuan amalan semasa,” katanya.

Menjawab soalan berkenaan picagari yang telah digunakan tetapi tidak dirampas oleh pasukan siasatan pada lawatan pertama mereka ke Pusat Pergigian Imperial pada 2 Jun 2016, Dr Siti Khadijah menjelaskan bahawa picagari yang telah digunakan adalah berbahaya dari segi biologikal dan sewajarnya dilupuskan.

“Sekiranya pihak kami merampas kesemua picagari itu ia akan mendatangkan bahaya kepada pasukan siasatan,” katanya sambil menambah pihaknya turut merakam percakapan Dr Ting untuk mengetahui perkara yang berlaku pada hari kejadian pada 1 Jun 2016.

Beliau juga menjelaskan pada lawatan kali kedua ke Pusat Pakar Pergigian itu pada 30 Jun 2016, pihaknya telah diberikan sesalinan rekod rawatan Syed Alman Zain bertarikh 26 Mei 2016 dan 1 Jun 2016.

Pada 12 Ogos 2016, pusat pergigian itu yang diwakili Dr Wong mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan berhubung kematian Syed Alman Zain.


Antara pertuduhan itu ialah beliau selaku orang kena saman (OKS), didakwa sebagai pemegang lesen, didapati gagal memastikan Dr Ting iaitu orang yang memberi perkhidmatan anestesia terhadap Syed Alman Zain, mempunyai kelayakan anestesiologi.

Klinik itu didakwa sebagai pemegang lesen telah gagal memastikan individu yang berkhidmat untuk menjalankan prosedur radiologi (orthopantomogram) dan perkhidmatan anestesia secara ‘IV Sedation’ ke atas Syed Alman Zain mempunyai kelayakan berbuat demikian.

Dakwaan lain terhadap premis tersebut ialah gagal menyediakan langkah-langkah perlu bagi menyelamatkan nyawa pesakit dengan tidak menyediakan oksigen sebagai perkhidmatan jagaan kecemasan asas serta gagal mengemukakan kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) satu salinan semua rekod perubatan Syed Alman Zain semasa dia dipindahkan ke sana.

Klinik berkenaan turut didakwa gagal menyimpan dan menyenggara suatu daftar kakitangan, memastikan kehendak pelabelan ubat dipatuhi serta tidak mengambil langkah yang cukup untuk melindungi semua kakitangan profesional jagaan kesihatan dan persekitaran terhadap bahaya biologikal.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di klinik yang terletak di Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, di sini, antara jam 6 petang dan 9.05 malam, antara 26 Mei dan 2 Jun 2016.

Tujuh pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(4), 39(2), 40(4) dan 117(2)(b)(i) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM30,000 dan RM300,000, jika sabit kesalahan.

Dua lagi pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 49(7) dan 245(6) Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Lain) 2006 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tiga bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharuddin bersambung esok. Klinik itu diwakili peguam P. Sreekant. – BERNAMA

Kategori