SIAPA sangka dalam kontroversi yang melanda diri pelakon Fathia Latiff, tersimpan satu bakat terpendam dalam bidang nyanyian.
Menurut salah seorang ahli kumpulan I Am Neeta selaku komposer lagu Bayang, Patrick Anohada akui Fathia sememangnya mempunyai ton suara yang menarik dan karakternya yang tersendiri sebagai seorang penyanyi.
“Saya minta dia nyanyi hari-hari kerana untuk jadi penyanyi kena ada pakej yang lengkap bukan sahaja nyanyia secara rakaman tapi boleh menyanyi secara live juga.
“Tidak sangka sekarang suara dia semakin baik, cuma dia sendiri belum bersedia untuk jadi penyanyi,” katanya dipetik daripada mStar Online.
Tambah Patrick lagi, dia juga sudah mempunyai satu lagu khas yang diciptakan buat Fathia tetapi hanya menunggu ‘signal’ daripada pelakon drama Menanti Februari itu untuk bersedia bergelar seorang penyanyi.
Rabu lalu, lagu asal nyanyian kumpulan I Am Neeta bertajuk Sakit, yang dinyanyikan semula oleh Fathia telah mendapat perhatian netizen di akaun YouTube dan hari ini, sebanyak 116,000 kali video itu sudah ditonton.
Malah, ianya juga telah trending sehingga menduduki tangga yang ke-13 pada hari ini.
Netizen juga mengakui bahawa Fathia mempunyai suara yang merdu jika dia bergelar seorang penyanyi.
Patrick turut telah mengubah beberapa rentak lagu berkenaan supaya ianya sesuai dengan suara Fathia sendiri.
“Dia suka sangat lagu itu, jadi saya cadangkan dia nyanyi semula ikut cara dia, saya cuma ubah sedikit melodi sesuai dengan suara dia.
“Sebenarnya dia memang sudah lama nyanyi di studio ini sejak beberapa tahun lalu tapi hanya sekadar suka-suka sahaja,” ujarnya lagi.
Mana tahu lepas ni Fathia juga boleh bergelar penyanyi selain berlakon. Kata orang, selagi ada peluang, biar sapu kasi habis.
Sekarang ni pun kalau dilihatkan sudah ramai pelakon turut menceburi bidang nyanyian sebagai penambahan rezeki mereka. – MYNEWSHUB.CC/AH