NAMA chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob boleh dikatakan cukup terkenal dan popular bukan sahaja di Malaysia malah negara luar.
Pun begitu, baru-baru ini Raf Yaakob ini mencuri tumpuan netizen apabila satu rakaman menyaksikan aksi beliau sedang menyediakan hidangan unik yang diberi nama ‘Sweet Table’ menjadi tular di media sosial.
Ekoran penularan video itu, Fazley yang juga seorang usahawan menerima pelbagai reaksi positif dan negatif daripada netizen. Ada memuji dan kagum dengan kreativiti dipamerkan oleh cef selebriti berusia 39 tahun ini.
Malah, tidak kurang juga terdapat segelintir pihak mengecam dan tidak bersetuju dengan cara penyediaan makanan tersebut kerana beranggapan kurang sopan berikutan Fazley dilihat mencampak beberapa makanan di atas meja.
Tidak mudah melatah, Fazley dilihat dengan tenang menyelar dakwaan berkenaan sekali gus mengakui tidak berkecil hati mahupun terkesan dengan tohmahan negatif itu.
“Saya tidak terkesan dengan kritikan itu. Saya campak (makanan) kerana pada ketika itu ahli keluarga saya ramai dan meja pula panjang dan menyukarkan saya.
“Tapi sebenarnya itu hanya untuk memberi pengalaman kepada adik-beradik dan keluarga saya. Saya tahu dan sedar tidak elok campak makanan.
“Malah dari kecil saya diajar oleh ibu bapa saya supaya tidak mencampak makanan. Saya tidak akan buat (campak makanan) apabila menyediakan hidangan ‘sweet table’ kepada pelanggan saya.
“Konsep ini sebenarnya saya mahu orang menikmati menu manis seperti kek dan kuih muih bersama orang tersayang seperti keluarga atau rakan-rakan.
“Secara tidak langsung ia mengeratkan lagi ukhuwah sesama mereka. Untuk hidangan ini, saya menggunakan tangan dan melukis di atas meja.
“Makanan diletakkan tetapi tidak di dalam pinggan. Itu kelainan yang saya tampilkan,” katanya dipetik laporan Malaysian Digest.
Tambahnya lagi, beliau mengakui gembira kerana sejak video tersebut menjadi tular, tempahan untuk ‘Sweet Table’ mendapat sambutan ramai.
“Ramai yang sudah menempah ‘sweet table’ untuk sambutan hari jadi dan makan bersama keluarga. Harga pihak saya tawarkan berpatutan antara RM15 hingga RM35 sahaja,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Fazley dikatakan kini sudah menjalankan aktiviti perniagaan restoran secara atas talian selain melancarkan aplikasi permainan video yang diberi nama Chef Fazley Kitchen. – MYNEWSHUB.CC/AM