KUALA LUMPUR – Badan kehakiman sepatutnya mengambil kira kedudukan agama Islam yang merupakan agama Persekutuan Malaysia dalam membuat pertimbangan terhadap sesuatu kes.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, hakim malah perlu mengambil kira bidang kuasa negeri dan peranan Raja selaku Ketua Agama Islam yang merupakan komponen penting dalam negara.
“Pada masa yang sama, hendaklah menjaga batas hak agama lain yang mensyaratkan menjaga batas keharmonian masyarakat majmuk,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau mengulas tentang isu hak penjagaan anak apabila berlaku perceraian antara pasangan yang telah memeluk Islam dan masih bukan Islam.
Mahkamah Persekutuan baru-baru ini memutuskan penukaran agama tiga anak guru tadika, M. Indira Gandhi hampir 10 tahun lalu kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.
Kanak-kanak itu dibawa masuk agama Islam oleh bapa mereka selepas bapanya terlebih dahulu memeluk agama Islam, namun dibantah oleh Indira dengan bantuan peguam M.Kulasegaran yang juga pemimpin DAP.
Abdul Hadi berkata, Islam bagaimanapun menuntut setiap anak menunaikan kewajipan terhadap ibu bapa yang tidak beragama Islam, walaupun anak itu tetap memilih agama Islam.
Justeru, katanya, tidak sepatutnya timbul kebimbangan dalam kalangan bukan Islam hubungan keluarga akan terputus disebabkan menganut Islam.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa bertindak lebih tegas terhadap pihak yang menjaga kepentingan politik perkauman dan fanatik agamanya untuk pilihan raya.
Menurutnya, Mazhab Syafie dan Hanbali dengan tegas mewajibkan pihak Islam perlu diberi hak menjaga anak kerana melihat pengawasan Islam terhadap kepentingan anak adalah menyeluruh.
Kata beliau, Mazhab Hanafi dan Maliki pula mengizinkan ibu bukan Islam menjaga anak, tetapi dengan syarat jaminan sebenar dapat memelihara kesucian akhlak dan fitrah anaknya serta tidak beri makanan yang haram seperti daging babi dan arak. – MYNEWSHUB.CC