KEMELUT antara dua sahabat, Hana Adnan dan Watie Sadali nampaknya masih belum mencapai pengakhirannya.
Terbaru, Watie didakwa gagal membayar tuntutan wang berjumlah RM112,000 kepada Hana seperti yang diperintahkan Mahkamah Seksyen Selayang pada Oktober lalu.
Menurut Hana atau Norhanasafiza Mat Adnan, 40, dia masih belum menerima sebarang bayaran daripada pihak Watie kerana kononnya Watie tidak mengetahui keputusan mahkamah tersebut.
“Saya sendiri tidak tahu apa masalah dia (Watie) tidak mahu membayar hutang tersebut.
“Alasan dia tidak tahu mengenai perintah tersebut memang tak masuk akal,” katanya dipetik daripada mStar Online.
Oktober lalu, Watie diperintah membayar RM112,000 melalui Jabatan Insolvensi bagi memadamkan nama Hana yang disenaraihitam.
Watie diperintah mahkamah membayar jumlah wang tersebut setelah Hana mendapat kemenangan menerusi tuntutan berhubung kegagalan Watie melunaskan pinjaman bank bagi sebuah kenderaan jenis Toyota Wish yang didaftarkan di atas nama Hana.
Watie, yang menggunakan kenderaan itu gagal membayar ansuran bulanan, insurans, cukai jalan dan perkara berkaitan sejak September 2010 sehingga mengakibatkan Hana diisytihar muflis pada 1 April 2013.
Disebabkan keengganan Watie membayar tuntutan tersebut, proses membersihkan nama Hana daripada senarai bankrap juga terganggu sekaligus dia tidak teragak-agak untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Tinggi bagi membela haknya.
Dalam pada itu, peguam Hana, Samir Zainal berkata sebelum membawa perkara tersebut ke peringkat yang lebih tinggi, pihaknya akan cuba menyelesaikan perkara tersebut bersama pihak Watie memandangkan perintah Mahkamah sudah dikeluarkan.
“Keputusan dan perintah dikeluarkan mahkamah tiada masalah cuma sekarang dia perlu ikut perintah itu.
“Saya juga difahamkan dia sudah pun melantik peguam untuk mengkaji semula perintah tersebut dan kita lihat bagaimana. Kita sedang tunggu daripada peguamnya dan harap ia dapat diselesaikan secepat mungkin,” ujarnya lagi. – MYNEWSHUB.CC/EFFAN