PARAH… Ibu kota Vietnam, Hanoi menikmati sebulan lebih udara bersih tahun lalu dengan tahap pencemaran udaranya meningkat dan menjadi setanding dengan pencemaran di Beijing, China.
Demikian menurut beberapa penemuan awal amat mengejutkan ramai dalam satu laporan dan disiarkan oleh akhbar berbahasa Inggeris berpengaruh, South China Morning Post yang berpangkalan di Hong Kong semalam.
Ia melaporkan bahawa pencemaran udara purata tahunan di Hanoi pada tahun 2017 juga empat kali lebih tinggi daripada yang disifatkan sebagai selamat oleh garis panduan kualiti udara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ini menurut satu laporan diterbitkan oleh Pusat Pembangunan dan Inovasi Hijau (GreenID). Malahan masalah pencemaran udara ini diramalkan akan lebih meruncing lagi, menurut pertubuhan yang berpangkalan di Hanoi itu.
“Kualiti udara adalah baik untuk tempoh lebih sebulan,” beritahu Lars Blume, seorang penasihat teknikal di GreenID, yang memantau data semasa dan dikumpulkan berkala di kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Hanoi.
“Ia memang di luar kawalan orang awam – mereka juga perlu keluar untuk pelbagai urusan dan bekerja setiap hari – dan dalam banyak kes, sukar untuk menilai sama ada udara tersebut adalah baik atau buruk,” kata beliau lagi.
Pencemaran udara di Hanoi berpunca dari beberapa faktor, termasuk jumlah kerja binaan yang meningkat, penggunaan kenderaan meningkat, dan pembakaran pertanian yang dilakukan oleh para petani, jelas Blume.
Bagaimanapun, hasil kajian dalam laporan menunjukkan bahawa industri berat, seperti industri keluli, kilang simen dan loji kuasa arang di kawasan berhampiran ibu kota, juga menjadi penyumbang utama kepada pencemaran itu.
Menurut laporan, pencemaran udara di Hanoi kini lebih buruk berbanding di Jakarta, Indonesia dan keadaan di Vietnam akan lebih buruk lagi ketika ia meneruskan rancangan pembangunan lebih banyak loji kuasa arang.
Pendedahan kepada tahap pencemaran udara yang tinggi, terutamanya dalam masa jangka panjang, boleh menjejas sistem pernafasan manusia, dan mengakibatkan penyakit jantung dan barah, lapor South China Morning Post.
Namun pemerintah Vietnam mengakui masalah itudan pada 2016 lalu bertindak melancarkan satu pelan tindakan tahap nasional yang bertujuan untuk kawal dan pantau pelepasan gas berbahaya dan meningkatkan kualiti udara.
Hanoi juga sedang merancang membangunkan sebanyak 70 stesen pengawasan udara. Laporan GreenID itu mengecam kekurangan peraturan mengenai kualiti udara dan kesedaran orang ramai mengenai masalah tersebut.
Juga kelemahan langkah berkesan untuk mengurangkan kesan pencemaran. Peningkatan perancangan bandar dan pelaburan dalam tenaga mampan serta sistem pengangkutan awam juga diperlukan, menurut laporan berkenaan.
South China Morning Post melaporkan bahawa kajian GreenID sebelumnya menunjukkan perasaan bimbang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Vietnam mengenai isu kualiti udara dan masalah pernafasan.
Ia dikatakan kian meningkat terhadap kanak-kanak yang perlu berulang-alik ke sekolah dan mereka yang memang ada menghidap penyakit berkaitan pernafasan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA