PENYANYI baru yang semakin meningkat naik, Haqiem Rusli mengakui terkilan apabila rakan-rakan seperjuangannya digelar sebagai ‘budak budak baru nak up’ oleh netizen.
Bagaimanapun, hasil kemenangan besar yang diraih pada malam kemuncak acara berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL 32) malam Ahad lalu, sedikit sebanyak membantu ‘menyelamatkan’ rakan-rakannya daripada terus dikecam.
“Saya ‘menyelamatkan’ mereka sebagai penyanyi-penyanyi baru ini. Saya kecewalah bila netizen kutuk semua ni.
“Saya ‘backup’ budak baru macam Aiman Tino dan Hasad Motawh sebab mereka (netizen) tidak pandai jaga hati (kami), (sering) kutuk-kutuk,” kata Haqiem.
Dalam pada itu Haqiem berpendapat, netizen tidak sepatutnya terus mengecam golongan seperti itu kerana setiap orang mempunyai cara dan gaya tersendiri dalam menyampaikan sesuatu lagu.
“Bagi saya benda tu tak patut, dan tak baguslah. Kalau lagu macam Aiman Tino tu cuba suruh orang lain nyanyi takkan sesedap Aiman Tino, begitu juga dengan yang lain-lain, sebab mereka ini unik.
“Tak semestinya nyanyi nak kena tinggi-tinggi. Tengok muzik mereka macam mana mereka sampaikan. Kalau netizen asyik kecam, bila mereka ni naik atau berjaya seperti artis-artis lama?” katanya.
Apapun, kami di Mynewshub mengucapkan sekalung tahniah kepada Haqiem kerana berjaya merangkul tempat ketiga di AJL32.
Semoga dengan kejayaan ini mampu membuka mata semua dan merubah persepsi negatif orang ramai terhadap golongan ‘budak-budak baru nak up’ sekaligus memberi mereka peluang untuk terus berkarya. – MYNEWSHUB.CC/AM