INDUSTRI lawak di negara kita ini sudah semakin berkembang. Ini dapat disaksikan dengan kemunculan pelawak-pelawak baharu serta lambakan program berunsurkan lawak yang ditayangkan di kaca TV.
Dalam kemunculan pelawak-pelawak baharu ini, kredibiliti serta pengalaman yang dimiliki oleh pelawak lama tidak boleh dipertikaikan.
Ini dapat dibuktikan dengan kemenangan pelawak popular, Harith Iskander di pertandingan Laugh Factory’s Funniest Person In The World pada hujung tahun 2016.
Dalam pada dominasi pelawak-pelawak baru di program-program komedi tempatan sekarang, Harith telah menempa nama di peringkat antarabangsa melalui pertandingan tersebut serta turut mempunyai persembahan komedi khas yang disiarkan di Netflix.
Kini, Harith tampil dengan #KitaOK Jelajah Komedi Harith Iskander “Live” 2018 anjuran Celcom.
Jelajah bakal berlangsung pada bulan Februari sehingga Mac tahun ini akan menyaksikan Harith mengelilingi negara yang akan dimulakan di Axiata Arena, Kuala Lumpur, 24 Februari depan.
Harith, yang sudah 27 tahun terlibat dalam industri komedi negara, berasa bangga akan jelajah terbarunya ini walaupun telah menempa namanya di peringkat antarabangsa.
Dia yang terkenal dengan bahan komedi yang mencerminkan keunikan budaya negara ini dipilih untuk menyatukan rakyat Malaysia dengan komedi.
“Berbekalkan pendekatan baru setelah mewakili Malaysia di persada dunia, matlamat saya kini ialah untuk menyatukan rakyat Malaysia serta mengupas dan menampilkan maksud sebenar istilah ‘being Malaysian’ menerusi gaya komedi teater saya yang berasaskan sejarah, kebudayaan dan lain-lain perkara yang mencuit hati yang membentuk jiwa Malaysia kita,” katanya.
Harith berharap, jelajah komedinya ini akan bertindak sebagai satu bentuk menyatukan rakyat Malaysia untuk mencintakan negara tidak kira apa yang berlaku.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Operasi Perniagaan Celcom Axiata Berhad, Azwan Khan Osman Khan, Celcom berbangga menjadi penganjur jelajah komedi ini kerana ia mencerminkan sokongan Celcom kearah perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.
“Kami yakin Harith Iskander akan dapat menampilkan semangat 1Malaysia di dalam komedinya, semoga akan mengingatkan kita semua bahawa perpaduanlah yang telah membawa kita ke sini,” jelasnya.
Selepas memulakan persembahannya di Kuala Lumpur, Harith akan turut membuat persembahan di Johor Bharu, Melaka, Pulau Pinang, Sarawak, Sabah dan Labuan.
Bagi butiran selanjutnya berkenaan jelajah tersebut, sila layari http://live-myticket-asia.time.ly/event/celcom-harith-iskanders-kitaok-live-comedy-tour-2018.
Harga tiket telah ditetapkan pada RM98, RM198 dan RM258. – MYNEWSHUB.CC/EZ