KUCHING – Ibu bapa diminta seiring dalam menguasai teknologi bersama-sama anak mereka, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau bekata penguasaan teknologi boleh membantu ibu bapa untuk mencorakkan masa depan anak-anak mereka selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang berteknologi tinggi.
“Dalam menyahut seruan kerajaan menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0, kita perlu lengkapkan diri dengan kemahiran teknologi. Pada masa yang sama, persiapkan anak-anak dengan ilmu teknologi agar mereka dapat menguasainya dengan baik untuk menghadapi cabaran masa hadapan,”katanya.
Beliau yang juga merupakan Anggota Parlimen Petra Jaya berkata demikian ketika berucap pada perasmian Seminar Keluarga Sakinah ‘Jalan Menuju Syurga’ di Klinik Kesihatan Petra Jaya di sini, hari ini.
Kira-kira 100 peserta menyertai seminar itu yang dianjurkan Persatuan Kebajikan Islam (PERKIP) Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Jawatankuasa Surai Klinik Kesihatan Petra Jaya.
Fadillah juga berkata bahawa kepesatan teknologi akan membawa banyak perubahan yang bakal mengubah cara hidup masyarakat pada masa akan datang.
Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa memantau anak-anak dalam menguasai teknologi untuk mengelak mereka daripada terdedah kepada unsur tidak baik.
“Sebagai ibu bapa, jika kita mahir dengan teknologi masa depan, kita boleh mengawal serta mengehadkan apa yang ingin kita kongsikan kepada anak-anak. Jangan sampai kita leka berkongsi benda yang tidak sepatutnya sehingga menjejaskan hubungan sesama manusia,” katanya. – BERNAMA