KUALA LUMPUR – Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini di atas pertuduhan memperdagangkan seorang wanita warga Indonesia untuk dieksploitasi sebagai buruh paksa.
Cheah Wai Hing, 58, seorang pesara membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Allaudeen Ismail selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Wanita itu didakwa mengeksploitasi wanita berusia 46 tahun itu di sebuah unit rumah di Kondominium Zehn, Jalan Bukit Pantai, Taman Bukit Pantai, Brickfields, pukul 3.30 petang, pada 19 Dis 2017.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah serta 1 Mac ditetapkan untuk sebutan kes.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Farith Muhamad Faizal tidak menawarkan sebarang jaminan manakala peguam Chuah Shyue Chien yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya penanggung tunggal keluarga dan menjaga ibunya. – BERNAMA