KUANTAN – Lima keluarga di Kampung Seri Damai, dekat sini, hidup dalam kebimbangan berikutan kediaman mereka berdekatan Sungai Belat diancam hakisan dan runtuhan tebing sungai serius lebih setahun lalu.
Penduduk, Keltshom Jusoh, 56, berkata, setiap kali hujan lebat, keadaan tebing Sungai Belat itu semakin terhakis mengakibatkan mereka tidak dapat tidur lena.
“Sebelum ini, kawasan tepi sungai itu dipenuhi pokok, namun semua sudah lenyap dibawa arus.
“Bukan itu saja, saya dan penduduk lain khuatir hakisan menjadi lebih teruk sekiranya hujan lebat melanda kawasan ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Suri rumah itu berkata, masalah itu bertambah teruk selepas kerja mendalamkan sungai dilakukan pihak berwajib.
“Mereka korek sungai di kawasan sebelah rumah penduduk. Sepatutnya korek di kawasan sebelah hutan yang tiada rumah, ini punca hakisan semakin teruk,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Norasikin Mahktar, 39, berkata, dia berharap masalah itu diselesaikan segera kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini.
“Penduduk di kampung ini bimbangkan keselamatan masing-masing terutama mereka yang ada anak kecil kerana tiada lagi tempat lain untuk berpindah jika keadaan ini berterusan,” katanya.
Tukang masak itu berkata, perkara berkenaan sudah dibawa ke pihak berwajib dan diharap ia dapat diselesaikan sebelum musim tengkujuh kembali melanda.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud ketika dihubungi berkata, beliau sudah melawat kawasan terbabit semalam dan akan membawa perkara itu kepada pihak berwajib. – myMetro Online