BARU-BARU ini pelakon jelita, Neelofa teruk dikecam netizen tempatan gara-gara mempromosikan satu produk yang melibatkan bayi di Insta Story miliknya.
Perkongsian itu mengundang rasa kurang senang segelintir pihak sekali gus menerima pelbagai reaksi daripada netizen tidak kira sama ada yang berbentuk positif mahupun negatif.
Disebabkan perkara itu menjadi bualan hangat netizen, pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor ini tampil menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku.
Memetik entri terbaru miliknya menerusi akaun Twitter, Neelofa memaklumkan beliau menghargai setiap komen yang diberikan berhubung perkara berkenaan.
Pada masa sama, beliau turut menjelaskan bahawa buat masa ini pihak CnG yang mengeluarkan produk suplemen tersebut sedang berusaha keras untuk menyelesaikan kekeliruan yang berlaku.
“Pihak pengurusan CnG bekerja keras untuk menjernihkan isu ini dan berusaha selesai kekeliruan yang berlaku. Saya sangat hargai kesabaran dan pemahaman semua,” tulisnya menerusi entri berkenaan.
Penjelasan Neelofa itu dilihat mendapat pujian netizen yang mana rata-rata mengakui sikap usahawan itu sangat profesional dan tidak mudah melatah dalam menangani isu berkenaan meskipun menerima pelbagai kritikan.
Terdahulu, pelakon berusia 28 tahun ini menjadi bualan hangat netizen apabila beliau memuat naik perkongsian mengenai makanan tambahan kesihatan (suplemen) untuk menghilangkan kedutan pada kulit bayi.
Perkongsian itu bukan hanya menarik perhatian netizen malah turut menerima teguran daripada seorang doktor pakar yang menyelar perkata tersebut. – MYNEWSHUB.CC/AM