SUSU ibu merupakan sumber makanan terbaik buat perkembangan anak kecil, lebih-lebih lagi kepada bayi yang baru lahir.
Disebabkan itu, ibu-ibu pasti sudah bersiap sedia dengan bekalan susu bagi bayi mereka sebelum keluar dari rumah agar mudah untuk diberikan kepada bayi ketika berada di khalayak ramai.
Lain pula jadi pada pelakon Shima Anuar atau nama sebenarnya Noor Hashimah Anuar, 27, hanya kerana dia menggunakan botol susu sebagai alternatif untuk menyusukan bayinya, dia dituduh memberi susu lembu atau susu formula kepada anak kecil yang baru lahir itu ketika mereka berada di khalayak ramai.
“Saya berehat daripada berlakon untuk memberi fokus kepada anak saya, sudah tentu saya beri susu badan bukan susu formula kerana ia (susu badan) yang terbaik.
“Netizen yang komen itu mungkin tidak tahu tentang pam susu dan sangka setiap susu yang diberi dalam botol hanya susu lembu sahaja,” katanya dipetik daripada mStar Online.
Pada 12 Disember lalu, Shima dan pasangan telah dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama Marian Sophia.
Pelakon drama Sha & Shah itu juga mengakui bahawa bukan mudah baginya untuk mengajar anak sulungnya itu untuk menyusu menggunakan botol susu.
Lagi pula kerjayanya sebagai seorang pelakon pasti memerlukan dia untuk meninggalkan puterinya itu ketika sedang keluar bekerja.
“Setiap kali keluar saya akan pam dahulu badan ke dalam botol supaya senang untuk beri dia minum ketika kami berada di luar,” tambahnya lagi.
Setiap ibu pasti akan berusaha untuk memudahkan urusannya bersama dengan bayi ketika berada di luar dan itu tidak menjadi masalah langsung jika difikirkan.
Selain itu, dalam masa terdekat ini, pelakon berasal dari Rawang, Selangor itu juga dikatakan mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada anak sulungnya itu sebelum berfikir untuk menambah lagi cahaya mata.
Namun itu tidak bermaksud Shima menolak rezeki yang diberikan oleh Allah S.W.T jika dia dikurniakan anak kedua dalam masa terdekat selepas ini.
“Dia baru berusia dua bulan dan sekarang belum pandai apa-apa lagi. Perancangan untuk anak kedua belum lagi, kalau boleh biarlah dia besar dahulu. Saya kesian nanti dia kurang perhatian jika ada adik dalam masa terdekat,” tambahnya lagi.
Disebabkan itu, Shima akan berehat selama beberapa ketika sebelum kembali aktif dalam dunia seni dan menyambung semula kerjayanya sebagai seorang pelakon.
Dia juga akan mula ‘memunculkan diri’ di hadapan lensa kamera selepas bayinya itu berusia setahun.
Shima dah suami, Mohd Solih Toha, 41, pada 8 April tahun lalu dan telah dikurniakan cahaya mata yang comel yang kini baru berusia dua bulan. – MYNEWSHUB.CC/AH