KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan video-video latih amal oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditularkan dengan berita palsu, kononnya telah berlaku situasi tergempar atau ketidaktenteraman awam.
Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab berkata tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu dalam menyebarkan berita palsu mampu menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, PDRM kini giat melakukan pelbagai bentuk persiapan dalam memastikan PRU14 berjalan lancar serta dalam keadaan aman dan tenteram.
“Ini termasuk mengadakan kursus-kursus dan latih amal bertujuan memastikan setiap pegawai dan anggota ditugaskan mampu menjalankan tanggungjawab mereka dengan efisien dan profesional,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata cuti pegawai dan anggota PDRM akan dibekukan dari Mac hingga Mei bagi membolehkan mereka mengikuti pelbagai bentuk kursus dan latihan yang telah direncanakan dalam tempoh yang ditetapkan.
Ia bertujuan memastikan mereka berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi apabila tarikh PRU diumumkan kelak, katanya.
Selain itu, PDRM turut memastikan keperluan logistik dan keanggotaan adalah mencukupi, demi membantu kelancaran proses pilihan raya. – BERNAMA