IPOH – Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta semua pihak di negeri tidak menimbulkan suasana tidak harmoni semata-mata untuk manfaat sendiri atau demi kepentingan politik.
Beliau berkata walaupun terdapat ruang demokrasi untuk sesiapa sahaja mengutarakan pandangan berlandaskan ideologi berbeza tetapi ia perlu dilakukan tanpa menjejaskan keharmonian di negeri ini.
“Kadang-kadang hanya disebabkan masalah politik kecil, kita cenderung menghasilkan satu lagi masalah (politik lain). Kita perlu meghentikan pertikaian ini dan terus memahami antara satu sama lain.
“Jika kita ada nilai ini, tidak kira anda ahli politik, ahli perniagaan, ahli korporat atau rakyat biasa, saya percaya kita akan hidup dengan aman dan harmoni dalam negeri Perak ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis jamuan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di sini hari ini, yang dihadiri kira-kira 1,000 orang.
Turut hadir Presiden PCCCI Datuk Liew Sew Yee, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Datuk S. Thangasvari dan Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan.
Dalam pada itu, Zambry mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mempunyai idea mengenai kemajuan negeri Perak, perlu mengutarakannya pada Festival of Idea anjuran kerajaan negeri.
“Sebagai sebuah kerajaan negeri anda tidak boleh selamanya kekal sempurna, malah sebagai manusia anda juga mempunyai pelbagai kelemahan.
“Jika anda mempunyai idea yang lebih baik, mari berkongsi idea itu kerana kita satu-satunya negeri di Malaysia yang mempromosikan Festival of Idea bagi membawa Perak lebih maju,” katanya. – BERNAMA