SEBELUM ini, aktres Elfira Loy pernah mengeluarkan kenyataan mengatakan dia reda selepas ikatan pertunangannya bersama penyanyi, Sufian Suhaimi terlerai minggu lalu.
Kini, Sufian turut berkongsi deritanya melalui pengalaman tersebut, sehingga turut menitiskan air mata akibat terlalu sedih akan kejadian tersebut.
Menurut penyanyi tersebut, dia bersyukur kerana mempunyai rakan-rakan dan keluarga disampingnya untuk melalui pengalaman perit itu.
Tambahnya, dia kini tenang dan sudah menerima takdir tidak mempunyai jodoh bersama pelakon dan ahli perniagaan itu.
“Sejujurnya saya akui memang sangat sedih. Apabila perkara ini berlaku, jatuh jugalah air mata ‘jantan’ saya tapi bukanlah di hadapan kamera.
“Tapi alhamdulillah, saya ada sokongan daripada keluarga, rakan-rakan artis yang sentiasa memberi kata-kata semangat dan peminat yang tidak pernah putus mendoakan saya.
“Saya reda dan menerima segala takdir yang sudah tertulis dengan tenang dan ketentuan dari Allah,” kata Sufian lapor mStar Online.
Sufian, yang ditemui di program temuduga Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) di Maeps, Serdang, Selangor, semalam menjelaskan bahawa buat masa ini, dia ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap karier nyanyiannya.
Tambahnya, dia enggan memikirkan soal cinta apatah lagi mencari pengganti buat masa terdekat ini.
“Buat masa ini saya tak nak fikir soal cinta atau mencari pengganti. Saya nak beri tumpuan sepenuhnya pada karier nyanyian.
“Perjalanan seni saya masih jauh. Saya sudah ada perancangan untuk kerjaya selepas ini,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai lagu terbarunya yang dikatakan ada kena-mengena dengan kisah putus tunangnya, Sufian berkata lagu berkenaan telah diciptanya pertengahan tahun lalu dan bukanlah selepas kejadian itu.
Tambah Sufian, selepas berakhirnya hubungannya dengan Elfira, lirik lagu yang ditulisnya pada masa itu secara kebetulan berkait dengan kisah peribadi yang dilaluinya ketika ini.
“Sebenarnya lirik lagu tersebut dah ada sejak tahun lalu lagi. Memang saya bercadang untuk keluarkan lagu tersebut pada tahun ini.
“Lagu itu juga sangat peribadi bagi saya kerana mengisahkan kehidupan saya yang secara kebetulan sahaja,” ujarnya.
Jelasnya, lagu ciptaan Sirkhan dan Rinkarnen itu bakal dilancarkan pada tarikh 23 atau 24 Mac akan datang yang sepatutnya menjadi tarikh awal dirancangnya untuk melangsungkan pernikahannya.
“Insya-Allah saya akan lancarkan lagu tersebut pada 23 atau 24 Mac depan. Tarikh itu sebenarnya tarikh awal perancangan untuk berkahwin.
“Jadi, saya ingat nak jadikan tarikh tersebut sebagai kenangan terindah juga sebab itu saya pilih untuk lancarkan lagu terbaru,” katanya.
Lagu bergenre balada itu telah dimainkan sedikit oleh Sufian ketika melakukan Instagram Live di laman media sosial miliknya itu baru-baru ini.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Sufian dan Elfira secara rasmi putus tunang pada 18 Februari lalu selepas cincin pertunangan mereka dipulangkan keluarga Elfira di rumah ibu bapa Sufian yang terletak di Muar, Johor.
Sehingga kini, punca sebenar terlerainya hubungan kedua-dua pasangan itu masih belum dapat dikenal pasti. – MYNEWSHUB.CC/EZ