NILAI – Selepas bergelar juara remaja Asia, pelumba berbasikal trek negara Zulhemi Zainal berharap untuk mendapat pendedahan meluas di peringkat tempatan mahupun antarabangsa bagi meningkatkan prestasinya ke tahap lebih tinggi.
Pelumba berusia 18 tahun itu yang baru memenangi pingat emas acara kejar-mengejar individu remaja pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2018 berkata pelbagai peluang untuk memperbaiki prestasi perlu diberikan kepada pelumba muda.
“Pengalaman itulah yang mematangkan setiap atlet dan digunakan untuk meningkatkan lagi prestasi. Saya tidak ingin lagi toleh ke belakang dan peluang adalah apa yang saya perlukan untuk lebih ke hadapan,” katanya.
Katanya tindakan dan usaha dalam menghasilkan pelumba tempatan yang berkemampuan menyaingi pencabar elit antarabangsa perlu digandakan memandangkan usaha berprestasi tinggi sedang dipergiat negara-negara lain termasuk negara kuasa besar sukan itu.
Beliau menjadikan kebangkitan negara seperti India yang berjaya menarik perhatian ramai penggiat sukan tersebut pada kejohanan yang memasuki edisi ke-38 itu, sebagai contoh.
“Saya amat teruja dengan kebangkitan negara India. Sebelum ini saya pun tidak sangka pasukan mereka sedang membangun terutama dalam acara pecut, jadi kita harus bertindak awal dan setiap langkah kemajuan yang mereka buat, kita harus selangkah di hadapan mereka,” katanya.
Pada perlumbaan itu semalam, Zulhelmi mencatat kepantasan masa tiga minit 24.985 saat (3:24.985s) untuk meraih emas menewaskan pelumba Kazakhstan, Maxim Gridchin yang meraih perak dengan masa 3:25.527s.
Kemenangan manis yang diraih pelumba kelahiran Kluang, Johor itu dianggap sebagai peluang kedua ekoran kegagalan beliau ketika beraksi di pentas sama tahun lalu.
“Ini adalah edisi ATC kedua bagi saya dan ia merupakan peluang kedua untuk saya buktikan sesuatu selepas saya gagal pada kejohanan sama tahun lalu. Pingat emas ini adalah antara pencapaian terbesar saya setakat ini dan berharap ia dapat melonjakkan lagi semangat untuk saya terus mencipta kejayaan di masa hadapan,” katanya. – BERNAMA