DALAM usia kandungan sudah mencecah sembilan bulan, pasti membuatkan kebanyakan ibu mengandung mudah rasa cepat letih lebih-lebih lagi apabila perlu menguruskan rumah tangga.
Menghitung hari untuk bersalin membuatkan pelakon Yatt Hamzah merasai bahawa proses kehamilan kali ketiga ini merupakan satu cabaran yang besar baginya.
“Bayangkan, selepas ini saya akan mengasuh bayi yang bakal lahir ini. Itu tidak termasuk menyediakan keperluan suami, memantau perniagaan dan menghadiri jemputan majlis,” tulisnya di ruangan kapsyen gambarnya.
Bagi Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah, 38, pergerakan fizikalnya yang kini semakin terbatas ditambah pula dia perlu menguruskan lagi keperluan dua anak kecilnya yang masing-masing berusia 1 dan 8 tahun.
“Saya mengaku apabila terlalu letih berlaku ‘mood swing’ atau emosi tak keruan, tekak menjadi loya dan mual. Ini ditambah pula dengan masalah pencernaan, bengkak dan kejang kaki serta pening.
“Kadang-kadang air mata menitis tanpa diundang… Rasa macam tak pernah cukup rehat,” tambahnya lagi.
Tambahan pula kini suami Yatt, Muhammad Zulfadli, 28, sedang bertugas di luar negara dan disebabkan itu, kesemua urusan rumah tangga perlu diselesaikan olehnya sendirian.
Kadang-kala, kepenatan yang dialaminya itu membuatkan bekas pengacara program Nasi Lemak Kopi O itu rasa hendak menangis mengenangkan keletihan menguruskan rumah tangga berseorangan.
“Memang letih sampai boleh rasa tertekan, nak pengsan pun ada, tu yang sampai menangis!
“Setiap doa ibu hamil diangkat para Malaikat, dimakbulkan Allah. Setiap kesakitan ibu hamil, apatah lagi yang mengendung 1 lagi bayi akan dibalas Syurga. Maka beruntungnya jadi ibu hamil.
“Tapi takpe saya tetap bersyukur. Sebab Allah masih berikan kudrat. Bukan senang nak dapat anak. Bila dah ada ni hargai dan syukuri nikmat yang tak semua orang dapat.
“Di luar sana sangat ramai yang masih berusaha nak dapatkan anak tapi Allah belum beri. Jadi janganlah banyak merungut,” tulisnya lagi.
Bagaimanapun, kehamilan kali ketiga ini membuatkan Yatt lebih matang dalam menjaga dan mendidik anak-anaknya bagi melalui proses pembesaran.
Disember tahun lalu, Yatt dan seluruh keluarga kecilnya telah mengerjakan umrah dan dalam keadaannya yang sedang hamil tujuh bulan ketika itu turut merupakan cabaran yang besar baginya.
Lebih-lebih lagi ketika itu anak keduanya baru berusia 11 bulan dan turut masih menyusu badan.
Hasil perkahwinan Yatt bersama dengan suaminya sejak tahun 2016 yang lalu, mereka telah dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Suci Humaira Iqlima dan seorang lagi bakal lahir tidak lama lagi.
Manakala, anak sulung Yatt iaitu Suci Hanania Malika, 8, merupakan anaknya bersama dengan suami yang pertama.
Mudah-mudahan segala urusan Yatt akan dipermudahkan lagi-lagi dia bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi. – MYNEWSHUB.CC/AH