JOHOR BAHRU – Kementerian Pengangkutan menafikan Kempen Keselamatan Jalan Raya yang dianjurkan setiap tahun gagal, sebaliknya ia mencatatkan kejayaan apabila jumlah kematian yang direkodkan menurun 412 kes pada tahun lepas.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata menurut rekod, sebanyak 6,740 kes kematian akibat kemalangan jalan raya dicatatkan sepanjang tahun lalu berbanding 7,152 pada 2016.
“Jumlah kematian pada 2016 adalah 7,152 iaitu meningkat 419 kes berbanding tahun sebelumnya iaitu 6,706 kes. Jadi, penurunan jumlah kematian tahun lepas (412 kes) menunjukkan perkembangan yang baik.
“Saya berharap pemandu akan memandu dengan lebih berkhemah terutamanya pada musim perayaan ini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Johor Port Berhad dengan PT Pelabuhan Indonesia I, di sini, hari ini.
Beliau berkata kerajaan akan mengambil pendekatan penguatkuasaan jalan raya termasuk penggunaan Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di semua jalan terpilih untuk memastikan pengguna jalan raya mematuhi had laju yang ditetapkan.
“Kita faham dengan situasi trafik sesak pada musim perayaan, tetapi kita meminta orang ramai untuk memandu secara berhemah dan patuhi keselamatan serta peraturan jalan raya,” tambahnya. – BERNAMA