PASIR SALAK – Kerajaan Barisan Nasional (BN) terbukti mampu memenuhi keperluan rakyat dengan menyediakan pelbagai perancangan, projek pembangunan dan bantuan, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Beliau berkata rakyat perlu bijak menilai parti politik mana yang sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Jangan tersilap langkah dengan mengundi pembangkang pada pilihan raya umum akan datang… pembangkang telah menunjukkan kegagalan dan tidak ada kesepakatan di beberapa negeri yang diperintah mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Jualan Murah 2018 di Pasir Salak Resort di sini. hari ini.
Justeru itu, Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani meminta rakyat terus menyokong kerajaan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan ekonomi negara.
Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata sepanjang Najib menjadi perdana menteri, beliau telah membawa banyak perubahan terutama yang melibatkan kepentingan Generasi-Y.
“Kerajaan tahu ada mereka yang tidak bekerja tapi berkeluarga, kerajaan dengar keluh-kesah dan ambil maklum akan suara mereka.
“Selain itu dari segi masalah perumahan, masalah pengangkutan awam, kerajaan telah membantu. Ini semua bagi membantu semua untuk mencapai aspirasi TN50 (Transformasi Nasional 2050),” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Permukiman Pemimpin Bersama Rakyat 2018 di Kampung Cheh Hulu di Kati hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan berbentuk baja getah, cuka getah dan penggalak susu getah kepada 281 penerima di kampung berkenaan.
Dalam pada itu, Mohamed Nazri mendoakan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sejak malam tadi kerana jangkitan paru-paru berikutan batuk berterusan, cepat sembuh.
Jabatan Komunikasi Korporat IJN dalam kenyataan hari ini berkata Dr Mahathir, 92, kini menerima rawatan di wad biasa. – BERNAMA