GEORGETOWN – Apa nak hairan jika Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dituduh cuba main politik cincang sampai lumat rancangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng nak bina terowong dasar laut antara Persiaran Gurney di pulau ke Butterworth di Seberang Perai.
Sudah menjadi lumrah apa saja pandangan menteri BN akan dikira nak bikin rosak program kerajaan negeri pembangkang.
Kalau baca kenyataan Fadillah pada Ahad pasal projek itu memang boleh buat tekanan darah Guan Eng bergegar dalam urat saraf badan.
Cuba selak balik sejak jadi Menteri Kerja Raya selepas pilihanraya umum ke 13 lalu ada pernah tidak Ahli Parlimen Petrajaya,Sarawak ini ‘ tembak’ mana-mana projek sampai menyengat begitu.
Mereka yang kenal Fadillah cukup tahu beliau sentiasa cool dan steady saja. Kecuali berkenaan kementerian, beliau jarang buat kenyataan politik.
Lagipun logiknya tidak ada sebab beliau nak kacau rancangan projek terowong sejauh 7.2 kilometer itu.
Kerajaan pusat menerusi kementeriannya cuma perlu bagi kelulusan tertentu saja.
Bab duit semua kerajaan negeri Pulau Pinang perlu tanggung.
Kebelakangan ini, riuh rendah kontroversi berterusan rancangan projek itu melibatkan ‘tembak menembak’ antara MCA-Gerakan dengan DAP yang mempersoal pelbagai keraguan termasuk kos bayaran kajian projek saja sudah mencecah lebih RM300 juta.
Sebagai menteri yang menjadi ‘gate keeper’ pada pembinaan projek-projek di serata pelusuk negara ada sebab Fadillah sendiri persoalkanya.
Baca tengok baris ke baris ayat dalam kenyataan Fadillah. Jelas terserlah pelbagai hal yang dirasainya tidak betul.
Antara lain menurutnya kebimbangan terarah kepada kewajaran membina terowong dasar laut mengikut aspek keanjalan kewangan memandangkan kadar penggunaan semasa jambatan pertama dan kedua Pulau Pinang, masing-masing 87 dan 50 peratus.
Katanya kadar penggunaan kedua-dua laluan itu boleh ditingkatkan atau diperluaskan, justeru tiada keperluan untuk membina terowong dasar laut.
Mereka yang lalu lalang diatas dua jambatan yang dibina oleh kerajaan pusat itu boleh mengesahkan ini fakta bukan auta.
Juga,kata Fadillah menjadi persoalan adalah mengenai unjuran Kerajaan Pulau Pinang untuk memulakan pembinaan terowong itu pada 2023, walaupun projek terbabit diluluskan pada 2013.
Pengurusan janggal itu, katanya, tidak pernah dijadikan sandaran oleh kerajaan untuk menganugerahkan kontrak projek yang hanya akan mula dibina sedekad kemudian kerana keadaan alam sekitar, trafik dan penggunaan tanah berubah mengikut garis masa.
Tentang konsesi tol, menteri itu kata selain bakal dinobat antara konsesi tol paling ‘berat sebelah’, kontraktor terowong dasar laut Pulau Pinang akan meraih keuntungan berlipat kali ganda daripada lonjakan nilai tanah negeri itu dan kutipan pembayaran pengguna laluan sepanjang 7.2 kilometer berkenaan dalam tempoh 30 tahun.
“Ini bercanggah dengan perjanjian konsesi standard yang lazimnya memperuntukkan kos pembinaan ditampung syarikat kontraktor bagi membolehkan mereka menjelaskan pinjaman berkaitan dan menjana keuntungan menerusi pembayaran tol.
“Berdasarkan perangkaan harga zon utama Pulau Pinang beberapa dekad lalu, kita jangkakan nilai tanah yang diberikan sebagai kaedah pembayaran ini mungkin menjadi dua hingga tiga kali ganda apabila pembinaan projek terowong dasar laut siap pada 2037.
“Lebih pelik apabila kontraktor diberikan konsesi mengutip tol untuk tempoh 30 tahun, berkadar sama dengan jambatan kedua Pulau Pinang walaupun kerajaan negeri menampung sepenuhnya kos pembinaan terowong dasar laut yang dibayar menerusi pemberian tanah yang ditentukan secara awal,” katanya.
Tolak sebelah bab terowong. Sekarang ini tahun 2018. Kerajaan pembangkang diterajui DAP sudah berkuasa di Pulau Pinang sejak PRU 2008.
Jadinya sudah dekat 10 tahun berkuasa.
Ingat balik manifesto pilihanraya ‘kerajaan berkebajikan’ pembangkang berdegar macam nak pecah dunia bagaimana nasib rakyat terbela nanti dibawah mereka.
Cuba pusing keliling sembang santai dan risik tanya secara rambang orang Pulau Pinang apa yang mereka nampak perubahan besar sejak duduk dibawah kerajaan diterajui DAP selama hampir 10 tahun.
Jangan hairan kalau ada yang terkebil-kebil garu kepala tercari-cari apa benda yang istimewa nak cakap.
Ini kerana pergi ke serata ceruk negeri apa yang nampak cuma legasi peninggalan kerajaan BN dulu.
Kilang zon perdagangan bebas,jalan,bangunan,rumah kos rendah dan sebagainya.
Bagi kebanyakan orang di Pulau Pinang khususnya di bahagian pulau, keperluan mendesak adalah rumah.
Bukan cerita dongeng harga rumah di Pulau Pinang yang ratusan ribu dan jutaan sudah di luar jangkauan termasuk golongan menengah.
Ramai kini yang terpaksa lari jauh beli rumah di Kulim dan Sungai Petani kerana ‘demam’ tengok harga rumah di Pulau Pinang.
Ada tidak dengar dari masa ke semasa Guan Eng jenuh pergi rasmi projek baru rumah murah dan kos sedarhana segala macam selama ini selari dengan laungan’ kerajaan berkebajikan’.
Apa yang bising ialah pasal projek terowong, projek nak buat tiga pulau di selatan Pulau Pinang untuk kelak bina perumahan super mewah dan lain-lain yang tidak bagi penyelesaian kepada keperluan-keperluan mendesak rakyat negeri.
“Cakap pun tak guna…inilah halnya kalau sudah terlajak pandai…gebang saja kuat,” kata sinis seorang pesara yang ditemui di sebuah kedai kopi di Gelugor membuat kesimpulan pasal kerajaan Guan Eng. – MYNEWSHUB.CC/Agenda Daily