CYBERJAYA – Kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi membangunkan Bandar Usahawan Strategi Lautan Biro Kebangsaan (BOET) di sini, dengan objektif menyediakan persekitaran kondusif untuk usahawan muda menjalankan perniagaan.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata Cyberview Sdn Bhd sebagai pemilik tanah seluas 0.33 hektar, bertanggungjawab terhadap pembangunan bandar berkenaan dan dijangka siap dalam tempoh enam ke tujuh bulan akan datang.
“Bagi projek di Cyberjaya, kami membinanya untuk golongan muda melalui penyediaan restoran yang akan menarik mereka, di samping ruang kerja bersama untuk usahawan ini menjalankan perniagaan dalam skala kecil pada kadar sewa berpatutan
“Kita juga akan membina jimnasium dan kemudahan sukan lain bagi menjadikan perbandaran ini pusat sehenti untuk golongan muda untuk bekerja dan melakukan aktiviti sukan,” katanya kepada pemberita pada majlis makan tengah hari untuk media yang dihadiri pemimpin industri penerbitan dan Pemantau Keusahawanan Global (GEM), di sini, hari ini.
Irwan berkata, ini adalah pembangunan perbandaran usahawan kedua selepas Borneo 744 di Kuching, Sarawak, yang sedang dalam pembinaan.
“Kita juga melaksanakan pembangunan sama di Terengganu, kerjasama dengan kerajaan negeri yang padamasa ini dalam fasa pembinaan melalui peruntukan RM10 juta dari Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, GEM memperkenalkan enam usahawan yang dilantik dalam TENxCLUB, memberikan mereka akses kepada program mentor yang komprehensif dan berdaya maju, termasuk pelbagai cabang bagi memasuki pasaran global.
Ahli juga akan ditaja untuk menghadiri acara membabitkan jaringan antarabangsa bertaraf tinggi, selain berpeluang untuk berhubung dengan pelbagai sumber modal.
Irwan berkatapemohon untuk kelab berkenaan terdiri daripada sama ada pengasas, pemegang saham majoriti dengan perolehan permulaan minimum RM1 juta pada tahun pertama operasi serta kurang dari dua tahun pada Disember 2017.
“Memulakan perniagaan adalah menjerihkan. Seseorang itu memerlukan modal mencukupi, bertemu dan melaksanakan jaringan perniagaan dengan mereka yang bersesuaian, juga mempunyai program mentor bagi memberi panduan, semasa mereka erusaha untuk bertahan dalam suasana perniagaan penuh persaingan.
“Ini adalah antara sebab kenapa komuniti usahawan penting dalam menyediakan sokongan sepatutnya, bukan sahaja di dalam negara, malah juga di peringkat global,” katanya. – BERNAMA