SHAH ALAM – Pakatan Harapan Selangor dijangka memuktamadkan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dalam tempoh dua minggu ini.
Setiausahanya, Zuraida Kamaruddin berkata setakat hari ini gabungan pakatan itu telah menyelesaikan agihan 35 daripada 56 kerusi DUN Selangor.
“Hari ini kami telah selesaikan 62.5 peratus agihan kerusi DUN antara empat parti komponen dalam Pakatan Harapan. Ini termasuk kerusi penyandang dan kerusi yang diberikan kepada Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
“Dalam minggu ini kita akan adakan rundingan intensif lagi termasuk besok, dan kita akan cuba selesaikan soal pengagihan kerusi sebanyak mungkin menjelang akhir minggu ini. Kita jangka dalam tempoh dua minggu ini kita akan selesaikan kesemua pengagihan kerusi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengagihan kerusi pakatan itu, di sini hari ini.
Antara yang kelihatan hadir pada mesyuarat kira-kira sejam itu adalah Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan Selangor Dr Xavier Jayakumar; Timbalan Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo; Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim dan Ketua PPBM Bahagian Petaling Jaya Utara Shaid Rosli.
Ditanya sama ada kerusi yang dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Amanah pada PRU13 akan ditandingi parti sama pada PRU14, Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR berkata Pakatan Harapan Selangor secara prinsipnya mengambil ketetapan untuk mengekalkan ‘status quo’.
Pada PRU13, DAP memenangi 14 kerusi DUN, PKR (13) dan Amanah (dua).
Difahamkan, mesyuarat itu turut membincangkan mengenai agihan 25 kerusi DUN yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) dan PAS pada PRU13, iaitu BN (12) dan PAS (13).
Perbincangan pengagihan kerusi DUN Selangor sebelum ini mencetuskan konflik antara kepimpinan Pakatan Harapan negeri meskipun rundingan itu sepatutnya dimuktamadkan pada 31 Jan lepas.
Keadaan diburukkan lagi dengan tindakan Izham menggelar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai ‘joker’ selain mendakwa Mohamed Azmin tidak layak menjadi Menteri Besar Selangor dan Pengerusi Pakatan Harapan Selangor.
Selain Izham, anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Ronnie Liu turut secara terbuka ‘menyerang’ Mohamed Azmin menerusi akaun Facebook miliknya, 3 Jan lepas, dengan mengatakan menteri besar itu tidak layak memegang jawatan pengerusi pakatan tersebut.
Susulan desakan dan ‘serangan’ yang diterimanya, Mohamed Azmin akhirnya akur dan menghantar surat rasmi meminta kepimpinan Amanah, DAP dan PPBM supaya menghantar empat wakil masing-masing untuk membincangkan perkara itu menerusi mesyuarat jawatankuasa pengagihan kerusi DUN hari ini. – BERNAMA