SUBANG JAYA – Pihak pengurusan taman tema air Sunway Lagoon mengeluarkan kenyataan berhubung insiden pelakon Filipina yang mendakwa dua anak perempuannya diganggu sekumpulan lelaki pada Khamis lalu.
Ruffa Gutierrez, yang juga bekas Miss World 1993 itu datang ke Sunway Lagoon bersama dengan dua orang anaknya, Lorin Gabriella, 15, dan Venice Bektas, 14, untuk bercuti apabila mereka mendakwa telah diganggu oleh 10 orang lelaki di lokasi tersebut.
“Dalam maklum balas terhadap insiden yang dialami oleh Cik Ruffa Gutierrez dan penemannya di Sunway Lagoon, pihak pengurusan ingin menyatakan bahawa Sunway Lagoon memandang serius perkara ini dan berhubung dengan Cik Gutierrez bagi membantu siasatan.
“Sunway Lagoon merupakan taman tema yang menyeronokkan dan keselamatan tetamu kami sentiasa menjadi keutamaan kami, oleh itu perlakuan tidak baik di taman tema ini sama sekali tidak akan dipandang remeh dan akan diselesaikan mengikut prosedur yang ketat.
“Sunway Lagoon akan memaklumkan sebarang perkembangan kepada pihak terbabit dan membantu menjawab soalan pihak media mengenai perkara ini,” kata Sunway Lagoon dalam kenyataan tersebut.
Dalam Instastory, Ruffa yang memuat naik tentang kejadian itu ketika dia dan rakannya pergi membeli burger.
Sekembalinya mereka ke tempat itu, dua anaknya datang sambil menangis dan mendakwa ada sekumpulan lelaki mengambil gambar tanpa kebenaran dan mengganggu mereka.
Pada awalnya mereka tidak mahu memperbesarkan hal itu tetapi sekumpulan 10 orang lelaki itu kemudian mengekori dan cuba menyerang mereka.
Baca: Miss Filipina Dakwa 2 Anak Diganggu Di Sunway Lagoon
Dalam kenyataan Ruffa di Twitter pula, pihak Sunway Lagoon katanya tidak sepatutnya membenarkan sekumpulan lelaki berkenaan berada dalam taman berkenaan di mana tempat itu sepatutnya selamat untuk kanak-kanak dan keluarga.
Sebagai respon terhadap isu berkenaan, Pengurus Besar Sunway Lagoon, Calvin Ho telah memohon maaf kepada Ruffa.
Bagaimanapun, pihak polis berkata mereka tidak menerima sebarang laporan mengenai insiden tersebut.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari berkata, tiada laporan yang dibuat oleh mangsa berhubung kejadian itu. –Â MYNEWSHUB.CC