KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri amat memerlukan kesinambungan mandat untuk mentadbir Terengganu bagi membawa lebih kemajuan dan kemakmuran kepada rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata selain menjadikan kerajaan negeri Terengganu yang lebih mantap, mandat yang lebih besar juga akan mendorong sokongan padu daripada kerajaan Persekutuan.
“Kita tahu kesinambungan mandat ini amat diperlukan untuk kerajaan Terengganu menjadi lebih mantap dan mendapat sokongan padu pimpinan atasan,” katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Terengganu 2018 di perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak
Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari serta barisan pemimpin negeri.
Ekspo Terengganu 2018 bertemakan ‘Terengganu Molek Doh’ anjuran kerajaan negeri, selama seminggu bermula semalam hingga 3 Mac ini, mempamerkan banyak kisah kejayaan yang dilakarkan rakyat Terengganu selama ini hasil bantuan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan berserta komitmen tinggi mereka. – BERNAMA