PASANGAN sensasi, Fattah Amin dan Fazura sebulat suara memutuskan untuk memilih konsep kisah dongeng ataupun ‘Fairytale’ sebagai tema di hari bahagia mereka.
Memetik laporan BH Online, majlis resepsi yang dikhususkan untuk ahli keluarga dan kenalan rapat kedua-dua artis tersebut bakal berlangsung pada 25 Februari depan di salah sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Fazura memberitahu sebuah lagi resepsi untuk para peminat akan diadakan pada 11 Mac depan.
Dedah pelakon Gol & Gincu itu, majlis tersebut pula akan berkonsep tradisional dengan sedikit sentuhan fantasi. Wah, macam menarik!
“Bagi majlis resepsi pada 25 Februari nanti, ia akan dibuat secara tertutup atas permintaan keluarga. Hanya keluarga terdekat, saudara mara dan kenalan rapat akan diundang.
“Manakala untuk majlis pada 11 Mac depan, kami memilih tema tradisional. Selain peminat, saya juga akan mengundang lebih ramai teman untuk menghadiri majlis terbabit.
“Mengikut perancangan, kami nak adakan tarian Poco-poco untuk memeriahkan lagi majlis ini,” kata Fazura.
Ditanya mengenai persiapan majlis, Fazura berkata dia terpaksa mencuri masa disebabkan kekangan masa dan waktu kerana sibuk dengan jadual kerja yang padat.
“Saya memang agak terkejar-kejar juga untuk melakukan persiapan berikutan pada masa sama, saya terikat dengan penggambaran filem.
“Disebabkan majlis resepsi ini dan faktor kesuntukan masa juga, saya terpaksa menolak tawaran berlakon di Indonesia,” ujar pelakon berusia 34 tahun ini.
Baca: Majlis Resepsi Fattah Amin, Fazura 25 Februari Ini
Pasangan sama cantik sama padan ini selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri sekitar pukul 9.50 malam dengan sekali lafaz pada 27 November lalu.
Pasangan itu disatukan dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur. – MYNEWSHUB.CC/AM