PUTRAJAYA – Aktiviti mengorek pasir di muara Sungai Puyu, Pasir Panjang, Seri Manjung, Perak tidak menjejaskan kawasan pendaratan penyu di pantai tersebut, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata kawasan yang terlibat dalam projek mengorek pasir itu hanya sebahagian kecil daripada kawasan pantai Pasir Panjang yang sepanjang enam kilometer dan tidak menjejaskan keseluruhan pantai tersebut.
Katanya projek mengorek pasir itu bertujuan mendalamkan muara Sungai Puyu bagi mengelakkan berlakunya banjir di kawasan Segari akibat limpahan air sungai yang terperangkap di muara tersebut.
“Pasir yang dikorek bukan untuk kerja-kerja penambakan laut di Teluk Muroh, Lumut. Projek dijalankan kerana muara sungai telah tertutup dan menyebabkan aliran air sungai tidak lancar,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar tempatan mengenai aktiviti mengorek pasir di muara Sungai Puyu oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak yang didakwa menjejaskan kawasan pendaratan penyu di pantai tersebut.
Wan Junaidi berkata pada masa ini, aktiviti yang dijalankan hanyalah kerja-kerja mencuci dan menyelenggara Sungai Puyu dan mengikut prosedur operasi standard, JPS perlu membuang kelodak ke tapak pembuangan yang diluluskan.
Selain itu, katanya kelulusan untuk mengeluarkan pasir tersebut telah mengambil kira masa yang sesuai iaitu dari bulan Disember 2017 hingga Mac 2018 memandangkan jumlah pendaratan penyu yang berkurangan dalam tempoh tersebut.
Katanya kementerian amat prihatin terhadap pemuliharaan kepelbagaian biologi negara yang amat bernilai itu dan sedar bahawa Pasir Panjang merupakan satu daripada pantai pendaratan penyu yang amat penting di Pantai Barat Semenanjung Malaysia selain Pulau Pinang dan Melaka.
“Pusat Penetasan Penyu yang ditubuhkan di pantai tersebut menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam usaha pemuliharaan spesies terancam ini,” katanya.
Wan Junaidi berkata sebelum kerja-kerja pengorekan dimulakan mesyuarat bersama Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Polis Marin, Jabatan Kastam, Jabatan Laut, Jabatan Alam Sekitar dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Lumut telah diadakan pada 4 Dis 2017 dan 5 Jan lepas dan kesemua agensi tiada halangan kerja-kerja penyelenggaraan itu dijalankan. – BERNAMA