KUALA LUMPUR – Ribuan pengguna Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2 ) masih terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika ini, khasnya dari arah Ulu Klang ke Ampang, berikutan kejadian kren tumbang di tapak projek berhampiran Dataran Ukay pada pukul 9.58 pagi ini.
Tinjauan Bernama di lokasi kejadian setakat pukul 1.30 tengah hari ini mendapati hanya satu daripada tiga lorong di laluan itu boleh digunakan akibat kren itu yang masih menghalang lalu lintas.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Supt. Azman Shari’at berkata dianggarkan jarak kesesakan kini sepanjang lima kilometer dari arah Ulu Klang menuju ke arah Ampang.
Beliau berkata pihak konsultan dan kontraktor dalam proses mendapatkan kren bagi membuat pengalihan terhadap halangan di tapak kejadian.
Kejadian itu menyebabkan seorang lelaki berusia 36 tahun cedera dan kini mendapat rawatan di Hospital Ampang. – BERNAMA