PUTRAJAYA – Kuasa untuk menyemak kesahan tindakan eksekutif di sisi undang-undang terletak sepenuhnya dalam bidang kuasa mahkamah sivil, menurut Mahkamah Persekutuan
Dalam penghakiman 100 muka surat disiarkan dalam laman web badan kehakiman, Hakim Tan Sri Zainun Ali berkata mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan kes penukaran agama seperti tindakan mencabar undang-undang oleh guru tadika M. Indira Gandhi kerana ia melibatkan keperlembagaan tindakan pentadbiran oleh Pendaftar Mualaf dalam mengeluarkan sijil tukar agama bagi tiga anak wanita itu.
Beliau berkata bidang kuasa dan kuasa mahkamah sivil tidak hanya terhad kepada undang-undang persekutuan tetapi juga ada kaitan dengan tafsiran dan penguatkuasaan semua undang-undang yang terdapat di negara ini.
Katanya kes Indira Gandhi tidak terletak dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah kerana ia tidak melibatkan tafsiran mana-mana undang-undang atau prinsip Islam.
Beliau juga berkata Mahkamah Syariah tidak diberikan kuasa untuk menyemak keputusan pentabdiran oleh pihak berkuasa.
āBidang kuasa untuk menyemak tindakan pihak berkuasa awam, dan tafsiran undang-undang negeri atau persekutuan yang relevan serta Perlembagaan, terletak sepenuhnya dalam bidang kuasa mahkamah sivil,ā kata Hakim Zainun yang menyampaikan keputusan panel lima hakim pada 29 Januari yang membatalkan penukaran agama tiga anak Indira Gandhi oleh bekas suaminya yang merupakan seorang mualaf.
Beliau berkata kuasa undang-undang tidak boleh dihapuskan daripada mahkamah sivil kerana kuasa itu merupakan sebahagian daripada teras atau bidang kuasa yang ada pada mahkamah sivil dan kuasa itu juga tidak boleh diberi kepada mahkamah Syariah mengikut Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 121 (1A) menetapkan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa dalam mana-mana perkara yang terletak dalam bidang kuasa mahkamah Syariah.
Hakim Zainun berkata Perkara 121 (1A) tidak membawa kepada pengecualian menyeluruh bidang kuasa sivil bagi mana-mana kes berkaitan undang-undang Islam.
āBidang kuasa yang ada pada mahkamah sivil berkaitan dengan semakan kehakiman dan persoalan perlembagaan atau tafsiran statutori tidak boleh dihapuskan dengan memasukkan klausa (1A),ā katanya.
Beliau berkata kuasa undang-undang tidak boleh diberikan pada Mahkamah Syariah kerana mahkamah itu tidak diberi taraf āmahkamah tinggiā menurut ketetapan dalam perlembagaan bagi melindungi kebebasan hakim.
Hakim Zainun berkata hakim Mahkamah Syariah dilantik oleh Pemerintah negeri masing-masing selepas merundingi majlis agama Islam negeri yang relevan.
ā Mahkamah-mahkamah Syariah ditubuhkan tidak mengikut ketetapan Bahagian IX Perlembagaan Persekutuan bertajuk āBadan Kehakiman.ā Perlembagaan melindungi kebebasan badan kehakiman, termasuk mekanisme bagi kelayakan, pelantikan, pemecatan, jaminan tempoh khidmat dan gaji hakim, tidak terpakai bagi Mahkamah Syariah,ā katanya.
Katanya sememangnya Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa terhadap pihak bukan Islam dan begitu juga pihak bukan Islam tidak mempunyai kedudukan di Mahkamah Syariah.
Anak Indira Gandhi, dua perempuan dan seorang lelaki, kini berumur 20, 19, dan sembilan tahun ditukar agama ke Islam oleh bapa mereka Muhammad Riduan, 47, pada April 2009 tanpa persetujuan ibu mereka (Indira Gandhi) selepas beliau memeluk Islam.
Tiga anak pasangan berkenaan ketika itu berumur 12 dan 11 tahun dan 11 bulan. Anak perempuan bongsu masih bersama-sama Muhammad Riduan manakala dua lagi tinggal bersama-sama ibu mereka.
Pada 2013, Mahkamah Tinggi Ipoh membenarkan permohonan Indira Gandhi untuk semakan kehakiman membatalkan penukaran agama anaknya itu tetapi keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti pada 2015 yang mengembalikan sijil penukaran agama anak-anaknya selepas membenarkan rayuan oleh pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Kerajaan Negeri Perak dan Pendaftar Mualaf, Kementerian Pendidikan dan kerajaan. – BERNAMA