BANGI — Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) hari ini menandatangani perjanjian kerjasama bernilai RM415,450 sebagai dana sumbangan zakat bagi tujuan penajaan pengajian program pasca ijazah.
Rektor KUIS Prof Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata dana yang disumbangkan oleh Bank Rakyat itu bakal diberikan kepada tiga pelajar yang terpilih dan berkelayakan di peringkat Doktor Falsafah (PhD) bagi program PhD Islamiyat di KUIS.
Pemilihan tiga pelajar itu akan dilaksanakan oleh Yayasan KUIS dan Yayasan As-Syafie sebagai pihak yang menguruskan dana dan memantau prestasi penerima biasiswa.
“Sumbangan di bawah Skim Zamalh ini berkuat kuasa selama tiga tahun merangkumi yuran pengajian dan elaun sara diri secara bulanan, “ katanya selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut di sini.
Pada majlis tersebut KUIS diwakili oleh Ab Halim manakala Bank Rakyat diwakili Ketua Pematuhan Syariahnya Mohd Zamerey Abdul Razak.
Yayasan KUIS pula diwakili Pengerusi Exconya Dr Zulkifli Abd Hamid dan Yayasan As-Syafie diwakili setiausahanya Rahimi Md Saad. — BERNAMA