KUALA LUMPUR – Pelakon terkenal Indonesia, Laudya Cynthia Bella ceria menyambut hari kelahiran bekas isteri Engku Emran Engku Zainal Abidin iaitu penyanyi Erra Fazira semalam.
Bella yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-29 pada 24 Februari depan malahan berkongsi video Erra meniup lilin kek hari jadinya menerusi ‘Instagram Stories‘ dengan kapsyen “Happy birthday Mom“.
Menurut laporan portal Astro Awani, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek; turut berkongsi video yang memaparkan reaksi terkejutnya secara spontan semasa menyambut hari lahirnya itu menerusi ‘Instagram Stories’.
“Thank you for the surprise. I didn’t know that you gonna come today (Terima kasih atas kejutan ini. Saya tidak menyangka anda akan hadir pada hari ini),” kata Erra yang kini sudah pun genap berusia 44 tahun pada Jumaat.
Astro Awani juga melaporkan bahawa kemesraan hubungan antara Bella dan Erra turut menarik perhatian ramai peminat mereka sendiri selain ribuan netizen dari kedua-dua negara berjiran Malaysia dan Indonesia itu.
Bahkan, sebelum ini, menurut laman sesawang berkenaan lagi, Erra pernah menjelaskan keadaan dirinya tidak pernah berasa kekok dengan Bella yang kini menjadi isteri kepada bekas suaminya setelah bercerai pada 2014.
Erra dan Engku Emran hanya dikurniakan seorang cahaya mata, Engku Aleesya. Bella yang berdarah Minangkabau dan lahir di Bandung, bernikah dengan Engku Emran pada 8 September tahun lalu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA