KUALA NERUS – Kerajaan negeri Terengganu mengagihkan lebih RM2.2 juta kepada 21,299 bayi yang dilahirkan di negeri ini menerusi Saguhati Kelahiran Anak Terengganu dari 2015 hingga tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Roslee Daud berkata menerusi insentif itu, setiap bayi menerima wang berjumlah RM100 hingga RM500 melalui Akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).
“Anak pertama hingga ke enam menerima RM100 seorang, anak ketujuh menerima RM200, anak kelapan menerima RM300, anak kesembilan menerima RM400 manakala anak ke-10 dan ke atas menerima RM500 seorang.
“Insentif ini bukan sahaja diperkenalkan bagi meningkatkan kelahiran di negeri ini tetapi bagi menggalakkkan ibu bapa membuat tabungan masa depan anak-anak,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menyampaikan saguhati itu kepada 200 waris penerima Ekspo Terengganu 2018 di sini, hari ini. Turut hadir Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu Mohd Shafaruddin Mustaffa.
Sementara itu, Nor Asmah Ilias, 32, dari Kampung Padang Air yang menerima bantuan itu, berkata program khas untuk bayi adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap pendidikan generasi muda demi masa depan mereka.
Beliau berazam meneruskan simpanan SSPN yang diberi kerajaan negeri untuk anak ketiganya, Mohd Haris Izzuddin Mohd Rauf, yang kini berusia 11 bulan.
“Sebelum ini, dua anak saya tak berpeluang menerima saguhati ini, tapi kami suami isteri memang sudah membuka akaun SSPN-i untuk kedua anak kami…Insya-Allah kami akan terus menabung untuk masa depan anak-anak sebab tabungan ni dapat memudahkan anak-anak untuk sambung pelajaran.
“Insentif ini memang bagus, untung jadi anak Terengganu, lahir je dah dapat saguhati dari kerajaan negeri,” katanya yang merupakan pekerja swasta. – BERNAMA