KOTA MARUDU – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang kira-kira jam 2 petang tadi di kolam ikan miliknya di Kampung Longob dekat sini, ditemui mati lemas di dalam kolam berkenaan.
Mayat Welfred Magimpa, 44, ditemukan oleh rakannya kira-kira jam 3.15 petang, lebih sejam selepas mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu Rony Sikawan berkata Welfred dan dua orang rakannya itu dikatakan pergi ke kolam berkeluasan 40 meter x 30 meter berkenaan untuk memancing.
Ketika berenang di dalam kolam itu, Welfred tiba-tiba hilang dan dua rakannya yang berusaha mencari mangsa tetapi gagal, kemudian melaporkan kejadian itu kepada pihak bomba.
Rony berkata bagaimanapun rakan-rakan Welfred berjaya menjumpainya sebelum anggota bomba tiba dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di tempat kejadian.
Mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Rony berkata tiga anggota bomba bersama Ketua Operasi BBP Kota Marudu, Rantey Fred dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada jam 2.13 petang. – BERNAMA