BALING – Operasi mencari mangsa lemas, yang dipercayai terjun ke Sungai Muda ketika cuba melarikan diri daripada polis dalam serbuan terhadap pemain judi sabung ayam di Kampung Tanah Licin, Kuala Ketil dekat sini, ditamatkan sepenuhnya petang ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zahar Abdullah berkata operasi itu dihentikan pada 6 petang selepas anggotanya mencari sejauh kira-kira tiga kilometer di sungai itu dan tidak menemukan mangsa lagi.
“Berdasarkan laporan polis berhubung orang hilang hanya membabitkan lima individu setakat ini. Jadi, kita tamatkan operasi mencari ini sepenuhnya petang ini,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Mohd Zahar berkata seramai 21 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya dan Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA), Sungai Petani serta BBP Kulim dan BBP Baling terlibat dalam operasi mencari yang bermula pada 9.25 pagi tadi.
Mayat lima lelaki ditemui terapung secara berasingan di sungai itu hari ini. Mereka dipercayai antara pemain judi sabung ayam yang cuba melarikan diri ketika serbuan polis kira-kira 8 malam pada 16 Feb lepas.
Mayat lelaki berumur antara 40 hingga 50 tahun itu ditemukan antara 11.35 pagi hingga 12.45 tengah hari tadi. – BERNAMA