MELAKA – Seorang ibu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya anak kandungnya semasa anak lelakinya itu berumur lima tahun, sembilan tahun lepas.
Tertuduh, 40, yang ditangkap semalam, didakwa melakukan penganiayaan itu dengan cara memukul anak kedua daripada empat beradik itu menggunakan rotan sehingga menyebabkan kecederaan lebam dan calar pada mata, badan serta kepala di sebuah rumah kedai di sini pada 2 petang, 21 April 2009.
Wanita yang bekerja sebagai tukang urut itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Mac untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi, manakala tertuduh diwakili peguam Nahdan Rengganathan Abdullah. – BERNAMA