DURJANA… Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang atas 334 pertuduhan sumbang mahram terhadap anak saudaranya sejak mangsa berusia lima tahun pada 2010 sehingga Januari 2018.
Lelaki berusia 46 tahun itu yang memakai baju T biru gelap dengan bersahaja menjawab “tidak,” ketika jurubahasa membacakan satu persatu pertuduhan ke atasnya di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Pertuduhan itu dibacakan oleh dua jurubahasa lelaki dan perempuan secara bergilir-gilir. Pertuduhan yang banyak itu telah menyebabkan jurubahasa terbatuk-batuk dan Hakim Mohamad Kamil turut menyuruh jurubahasa itu duduk.
Mengikut pertuduhan pertama sehingga ke 334, tertuduh didakwa telah melakukan sumbang mahram iaitu bersetubuh dengan anak saudaranya, seorang perempuan yang tidak boleh dikahwini, sejak mangsa berusia lima tahun dan mangsa kini berusia 13 tahun.
Tertuduh yang telah berkahwin tetapi tidak mempunyai anak itu dituduh melakukan kesemua perbuatan itu di sebuah rumah flat di Ampang, di sini antara Januari 2010 sehingga Januari 2018, pada waktu pagi dan petang.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abdul Razak tidak menawarkan sebarang wang jaminan mengambil kira tertuduh mempunyai ikatan persaudaraan yang rapat dengan mangsa dan kebarangkalian tertuduh mengganggu mangsa adalah tinggi.
Peguam Muhammad Amin Abdullah bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan tertuduh mempunyai masalah kesihatan termasuk perlu mendapatkan rawatan berkala apabila sebelah kakinya dimasukkan besi akibat kemalangan jalan raya pada 2015.
Hakim Mohamad Kamil tidak membenarkan tertuduh diikat jamin mengambil kira faktor hubungan kekeluargaan dalam kes itu, usia mangsa yang muda serta kebimbangan tertuduh mengacau ganggu mangsa dan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 13 Mac untuk sebutan semula kes.
Terdahulu ketika prosiding pendakwaan bermula 10.45 pagi, lelaki itu dijangka akan didakwa atas lebih 500 pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak saudaranya.
Namun ekoran kekangan waktu kerana mahkamah perlu berhenti bagi solat Jumaat, kes itu ditangguhkan pada 12.46 tengah hari dan disambung semula pada 2.30 petang.
Bagaimanapun hanya 334 pertuduhan sempat dibacakan manakala baki pertuduhan itu akan dibacakan Isnin ini.
Kes itu juga turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie pada sebelah pagi sebelum diambil alih oleh Raihanah pada sebelah petang.
Tertuduh kemudian dibawa ke Penjara Sungai Buloh, Selangor. – BERNAMA