BUKAN sekadar diilhamkan daripada kisah benar yang berlaku dalam kehidupan, Makrifat Cinta turut memaparkan jalan cerita yang dilihat mempunyai nilai dan kekuatan tersendiri.
Naskhah sentuhan Pengarah, Kamal G ini dilihat kembali merancakkan industri perfileman tempatan apabila penonton berpeluang menyaksikan dua anak seni terkenal iaitu pengarah popular, Syamsul Yusof dan aktor bertubuh sasa, Datuk Adi Putra digandingkan dalam filem berkenaan.
Bukan itu sahaja, malah filem berkenaan turut mempertaruhkan pemegang trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28), Nabila Huda dan Nora Danish.
Sinematografi, camera shot dan setiap movement yang sangat padu telah berjaya mencairkan hati sekaligus membuatkan penonton merasa lebih dekat dengan setiap karakter yang dipersembahkan dalam filem berkenaan.
Penyanyi, Shiha Zikir berkata dia sangat berpuas hati dengan semua barisan pelakon dalam filem ini selain mengakui turut memberi impak yang sangat besar kepada masyarakat.
“Filem ini memang memberi impak yang sangat besar dan motivation. Jarang di Malaysia terdapat cerita yang memberi motivasi seperti filem ini yang mana skripnya meningkatkan semangat semua penontonnya,” katanya ketika ditemui media sempena pratonton pada 19 januari lalu.
Penulis Blog, Tati Namsur, 38, berkata, pengolahan jalan cerita filem ini sangat memuaskan di mana ia berjaya membuatkan penonton terkesima dengan idea kreatif yang ditonjolkan.
“Filem ini antara cerita Melayu yang berjaya membuatkan saya mengalirkan air mata. Secara keseluruhan, jalan cerita yang ditonjolkan sangat memuaskan dan berkaitan antara satu sama lain.
“Kesemua part sedih berjaya membuatkan saya mendapat rentak sekaligus menjiwai setiap karakter yang ditonjolkan,” ujarnya.
Seterusnya bagi Khairul Nizam, 35, pula berkata, jalan cerita yang dipaparkan adalah sangat menarik sekaligus membuatkan filem ini kelihatan ‘hidup’.
“Cerita yang sangat menarik dan amat sesuai ditonton oleh semua masyarakat. Selain itu, ia juga sangat mengagumkan apabila semua barisan pelakon dilihat mempunyai chemistry antara satu sama lain,” kata khairul.
Seorang lagi peminat, Hemavathy, 26, pula berkata, Makrifat Cinta merupakan filem yang sangat menarik kerana mengetengahkan nilai kekeluargaan serta cinta yang sering berlaku dalam kehidupan masyarakat sekeliling.
“Ia merupakan sebuah filem yang sangat menarik. Very emotional which happen in a most of everyone’s life. Bagi saya, filem ini adalah contoh terbaik untuk memotivasi masyarakat.
“Saya sangat suka lakonan Nabila Huda yang nampak begitu real! Pun begitu, Syamsul Yusof juga terbaik di mana beliau membawa watak sedih dengan jayanya dan Puteri Balqis juga sangat bagus.
“Tidak ketinggalan juga, Datuk Adi Putra. Beliau kelihatan sangat serius tetapi tetap comel! Saya bagi 10/10 untuk filem ini,” ujarnya dengan nada yang sangat teruja.
Sementara itu menurut Cyrill Hassan, 37, pula berpendapat filem ini sangat menarik dan dipenuhi mesej tersirat yang mana padat dengan nilai motivasi.
“Saya bagi 4/5! Filem ini patut ditonton oleh semua kerana selain daripada hiburan, Makrifat Cinta juga terdapat mesej yang tersembunyi di mana amat berguna untuk pelbagai pihak,” katanya.
Makrifat Cinta mengangkat tema cinta dan drama yang berkisar tentang kesusahan ditempuhi seorang lelaki bernama Mahathir yang berasal dari kampung namun mempunyai cita-cita tinggi untuk berjaya mencipta aplikasi telefon terbaharu.
Filem yang diterbitkan buat pertama kalinya oleh Dhananwoodd Films Sdn. Bhd. ini telah mula ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia pada 1 Februari 2018! – MYNEWSHUB.CC/AM
*Filem ini telah mula ditayangkan di pawagam bermula 1 Februari lalu dan mendapat sambutan yang hangat.