KUCHING – Jumlah mangsa banjir di Sarawak setakat pukul 4 petang ini mencatatkan penambahan 78 orang, menjadikan jumlah keseluruhan 4,602 berbanding 4,524 tengah hari tadi.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Sarawak (JPBNS) berkata jumlah mangsa banjir di bahagian Samarahan mencatatkan 1,782 mangsa, Serian 1,192, Sibu 597, Mukah 95, Bintulu 648, Limbang 280 dan di Sarikei 8 mangsa.
Kesemua mangsa banjir ditempatkan di 26 buah Pusat Perpindahan Sementara (PPS), masing-masing tujuh PPS di Samarahan dan Serian, dua di Sibu dan Bintulu, tiga di Limbang dan Mukah manakala di Sarikei kekal satu PPS.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dalam kenyataannya melaporkan terdapat 42 buah sekolah yang ditutup dan 11 buah sekolah dijadikan sebagai PPS.
Jumlah yang terjejas mencatatkan 5,380 orang murid, 677 orang guru dan 249 orang staf sokongan. – BERNAMA