TAMPIN – Sebilah mata traktor pemotong rumput yang meragut nyawa pelajar Tingkatan Dua di padang SMK Tuanku Abdul Rahman di sini ditemukan kira-kira 300 meter dari mesin tersebut.
Ketua Polis Daerah Tampin, Supritendan Hamazah Abd Razak berkata, pasukan polis forensik menemukan objek itu selepas tiga jam insiden menyayat hati tersebut berlaku.
“Kami sudah menghantar bilah mata traktor itu ke jabatan kimia untuk dianalisis.
“Anggota saya menemukan objek itu di semak berhampiran sebuah kawasan perumahan di luar sekolah,” kata beliau.
Hamazah berkata, polis akan bekerjasama dengan beberapa agensi untuk mengetahui punca sebenar bilah mata traktor itu rosak.
Katanya, pemandu traktor itu telah dibebaskan dengan jaminan polis dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.
Mangsa, Nur Afini meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi pelajar lelaki cedera akibat terkena bilah pisau traktor mesin rumput di padang sekolah tersebut pada Selasa. – The Star/mStar Online